Sampai Bila Nasib AS di Tangan Pompeo?

2020-07-06 12:28:07  CRI
Share with:

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-243 Amerika Syarikat (AS) ditandai dengan rekod lebih 50 ribu kes jangkitan COVID-19 sehari dalam masa tiga hari berturut-turut sebelum 4 Julai. Pada waktu yang sama, gerakan membantah diskriminasi kaum dan keganasan polis masih berterusan di serata negara itu, mencetuskan konflik antara pemprotes dengan polis.

Berdepan penularan wabak dan penyakit rasisme dalam negeri, netizen tempatan langsung mengkritik politikus AS seperti Setiausaha Negara Mike Pompeo ibarat “pemandu yang terlena di stereng kereta”, tidak tahu ke mana destinasi hendak dituju.

Dalam isu melibatkan luar negara pula, Pompeo ibarat “radio yang hanya mengulangi pembohongan” semata-mata demi modal politik. Baru-baru ini, dia sekali lagi cuba melaga-lagakan kerajaan dengan rakyat China, bahkan melabel China “ancaman” buat dunia. Padahal, satu tinjauan bebas oleh sebuah firma Singapura mendapati rakyat China yang mempunyai tahap kepuasan hati paling tinggi terhadap inisiatif kerajaan sendiri melawan wabak, berbanding dengan kerajaan AS yang mengutip tidak sampai separuh markah diperoleh kerajaan China.

Sampai kini, jumlah kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di AS terus-menerus mencatat rekod baharu, namun Washington tetap sibuk mencari kambing hitam. Jurnal bulanan The Atlantic terang-terangan mengecam lapisan politik yang korup dan birokrasi yang tegar sebagai “penyakit kronik” yang sekian lama berleluasa di AS tanpa diubat.

Melihatkan betapa kelamnya situasi di negara itu dengan pemerebakan wabak yang tidak terbendung dan tunjuk perasaan yang tidak berkesudahan, sudah sampailah masanya untuk politikus umpama Pompeo “jaga dari lena” sebelum negara sendiri terjerumus ke dalam jurang yang tiada jalan kembali.

张宪