Pompeo Conteng Arang ke Muka Sendiri

2020-07-07 13:47:30  CRI
Share with:

Mike Pompeo hanya menconteng arang ke muka sendiri apabila ia berkeras hendak menegakkan pembohongan, sedangkan sudah terbongkar kebenarannya. Mutakhir, setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) itu menuduh lagi wujudnya “paksaan bekerja dan penahanan secara beramai-ramai” di Xinjiang dan tempat-tempat lain di China. 

Padahal, siasatan dan kajian telah berulang kali menyangkal dakwaan “hampir sejuta penduduk etnik Uygur ditahan” sebagai kesimpulan oleh Pembela Hak Asasi Manusia China (CHRD) yang disokong kerajaan AS, berdasarkan sampel yang hanya melibatkan lapan orang sahaja. Yang sama juga boleh dikatakan berhubung khabar bahawa “penduduk etnik Uygur dipaksa bekerja di kilang di pedalaman China”, yang direka-reka oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) tajaan AS. Bukan kali pertama Pompeo memburuk-burukkan usaha China mencegah keganasan dan menghapuskan fikiran ekstrem di Xinjiang. Perbuatannya yang terang-terangan mencampuri urusan dalaman China, mendedahkan niatnya untuk menjejaskan kemakmuran dan ketenteraman wilayah itu, serta mengekang pembangunan negara ini. 

Umum mengetahui, isu-isu berkaitan wilayah Xinjiang bukanlah soal hak asasi, etnik mahupun agama seperti yang didakwa AS, sebaliknya berakarkan masalah kekerasan, keganasan dan pemisahan. Inisiatif yang diambil kerajaan China bertujuan membanteras seluruhnya unsur-unsur tersebut hingga ke akar umbi, melalui langkah-langkah menggalakkan pendidikan dan pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan. Alangkah salah tanggapan bilamana maktab vokasional yang bertujuan membekalkan pelajar dengan kemahiran yang dapat menambah baik hidup mereka, dilabel sesuka hati oleh mereka seperti Pompeo sebagai “kem tumpuan”. 

Sudah terbukti, langkah-langkah yang membantu penduduk etnik minoriti mencari peluang bekerja berkesan untuk mewujudkan kestabilan, pembangunan dan perpaduan bangsa di Xinjiang. 

Sesi ke-44 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) baru-baru ini menyaksikan 46 negara sebulat suara melantangkan sokongan terhadap dasar China berkaitan Xinjiang. Setakat ini, lebih seribu individu dari 91 negara telah diundang melawat Xinjiang, dan rata-ratanya menganggap pengalaman China memerangi keganasan dan membanteras ekstrimisme boleh dipelajari masyarakat antarabangsa.

曹捷