Sempadan Aman, Sesuai Kepentingan Bersama

2020-07-08 13:39:30  CRI
Share with:

Rundingan wakil pihak China dan India mengenai isu sempadan pada malam 5 Julai lalu, berakhir dengan tercapainya persetujuan dalam empat perkara.
 
Perbincangan menerusi telefon itu menyaksikan dua perwakilan membulatkan komitmen untuk mematuhi konsensus antara pemimpin serta siri perjanjian dua negara membabitkan isu sempadan, di samping memperkukuh komunikasi menerusi mekanisme rundingan wakil khas bagi memastikan tidak berlakunya lagi insiden-insiden yang menjejaskan ketenteraman di kawasan sempadan.
 
Perkembangan ini dilihat menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk merungkai perselisihan menerusi dialog, yang turut menyuntik keyakinan kepada usaha menjaga hubungan China-India bahkan keamanan dan kestabilan sedunia.
 
Sejak April lalu, konflik sempadan di Lembah Galwan menjadi perhatian masyarakat antarabangsa. Menurut butiran yang didedahkan pihak rasmi China, askar India terang-terangan melanggar persepakatan antara komander tentera apabila mereka sekali lagi melintas Garis Kawalan Sebenar yang memisahkan wilayah kedua-dua negara, dan melakukan provokasi yang membawa kepada konflik berdarah.
 
Persetujuan terbaharu yang dicapai hasil ikhtiar perwakilan China dan India yang masing-masing diketuai Menteri Luar Wang Yi dan wakil khas Ajit Doval, jelas menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meredakan situasi di sempadan dengan berlandaskan kepatuhan kepada konsensus antara pemimpin serta penyelesaian menerusi rundingan dan dialog.
 
China dan India perlu terus sehaluan untuk melindungi ketenteraman kawasan sempadan melalui tindakan praktikal, selari dengan tanggungjawab sendiri terhadap pembangunan serta kestabilan rantau dan dunia.
 

张宪