China, Thailand Sokong-Menyokong Lawan Wabak

2020-07-15 15:25:21  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping berhubung dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha menerusi telefon semalam.

Xi berkata, setelah tercetusnya pandemik COVID-19, China dan Thailand sokong-menyokong dan bersama-sama mengatasi kesukaran, jelas memperlihatkan hubungan persahabatan yang seerat talian persaudaraan melalui tindakan praktikal.

China akan menjunjung tinggi konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan, dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa termasuk Thailand untuk menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memainkan peranan lebih baik dalam perjuangan memerangi wabak, sambil mendorong kerjasama sejagat melawan wabak serta sinergi melibatkan penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan.

Ujarnya, hubungan China dan Thailand memiliki asas yang amat kukuh dan berpotensi besar. Kedua-dua pihak mengatasi impak wabak dan terus memperkasakan kerjasama pragmatik, menyaksikan perdagangan bilateral bukan sahaja tidak terjejas malah terus meningkat. Kemajuan turut dilihat dalam pembinaan landasan kereta api China-Thailand yang berjalan dengan lancar, begitu juga perkongsian strategik komprehensif dua negara yang terus berkembang sihat.

China bersedia bersama-sama Thailand memperkukuh perpaduan dan kerjasama serta memelihara momentum pembangunan dan kemakmuran di rantau ini.

Prayuth pula memuji daya pimpinan kerajaan China dalam membendung wabak serta konsep rakyat diutamakan dalam perjuangan berkenaan.

Thailand juga amat menghargai komitmen China untuk berkongsi vaksin yang dibangunkannya sebagai produk awam global, dan bersedia bersama-sama China menjaga kedamaian dan kestabilan serantau serta menjayakan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

徐国玮