Dagangan Luar China Pulih, Jana Keyakinan Dunia

2020-07-15 13:51:54  CRI
Share with:

Data terkini kastam China menunjukkan nilai keseluruhan import dan eksport dagangan barangan negara ini mencatat RMB14.24 trilion pada separuh pertama tahun ini. Walaupun menurun 3.2% berbanding tempoh sama tahun lepas, namun kadar penurunannya berkurang 3.3% berbanding suku tahun pertama.

Khususnya, eksport merekodkan pertumbuhan selama tiga bulan berturut-turut sejak April. Pada bulan Jun, eksport meningkat 4.3% manakala import naik 6.2%, prestasi yang lebih baik daripada unjuran pasca wabak COVID-19.

Dari segi pasaran perdagangan luar, negara-negara ASEAN yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) paling menonjol. Pada separuh pertama tahun ini, ASEAN telah menggantikan EU sebagai rakan dagang terbesar China.

Dalam pada itu, syarikat swasta muncul selaku penyangga kuat bagi menstabilkan sektor perdagangan luar China. Dalam tempoh sama, jumlah import dan eksport syarikat swasta meningkat 4.9%, mewakili 45.1% daripada nilai keseluruhan dagangan luar negara ini.

Terdapat dua faktor yang membawa kepada prestasi cemerlang ini. Yang pertama, China berjaya membendung penularan wabak dan memulihkan sepenuhnya kegiatan pengeluaran, membolehkan permintaan domestik merangsang import khususnya komoditi pukal dan hasil pertanian utama.

Faktor kedua, eksport produk pencegahan wabak serta barangan keperluan sewaktu tempoh pelaksanaan perintah berkurung, turut meningkat dengan pesat. E-dagang rentas sempadan memainkan peranan positif untuk membantu syarikat perdagangan luar China menghadapi kesan negatif wabak, sama seperti sokongan dasar yang berkenaan.

Perdagangan luar China mengekalkan trend pembangunan ke arah baik dalam jangka masa panjang. Dengan adanya dasar dan langkah bagi menstabilkan perdagangan luar, China mempunyai kemampuan untuk menjamin kemapanan pasaran, yang turut menyuntik keyakinan rantai bekalan global sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sejagat serta globalisasi ekonomi.

覃淼