Populariti RMB Bukti Dunia Yakin

2020-08-17 15:05:54  CRI
Share with:

Renminbi (RMB) ternyata semakin popular sebagai mata wang penjelasan bagi transaksi rentas sempadan, terbukti dengan penggunaannya yang meningkat pesat pada tahun lepas seperti yang ditunjukkan laporan terbaharu Bank Rakyat China.

Rentak pengantarabangsaan RMB yang kekal mantap biarpun seluruh dunia terkena tempias teruk ekoran COVID-19 sejak awal tahun ini, jelas memperlihatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi China.

Laporan Pengantarabangsaan RMB 2020 oleh Bank Rakyat China menyebut bahawa jumlah pembayaran rentas sempadan yang dibuat menggunakan mata wang itu pada tahun lepas mencecah RMB19.67 trilion (RM11.9 trilion), mencipta rekod baharu dengan peningkatan 24.1% berbanding tahun sebelumnya.

Statistik terkini meletakkan RMB di tangga kelima antara mata wang penjelasan antarabangsa utama. Setakat hujung 2019, penggunaan RMB bagi pembayaran melibatkan pelaburan langsung dan sekuriti masing-masing naik 4.5% dan 49.1%. Pada masa ini, lebih 70 bank pusat atau lembaga kewangan di seluruh dunia telah memasukkan RMB dalam rizab pertukaran asing mereka. Dilihat dari keseluruhannya, fungsi RMB sebagai mata wang penjelasan, pelaburan dan pembiayaan semakin kukuh, fungsinya sebagai mata wang rizab bertambah ketara, sedangkan fungsinya dalam penentuan harga juga menampakkan kemajuan.

Perkembangan dalam proses pengantarabangsaan RMB turut menjadi perhatian. Pensyarah kanan dari Universiti Islam Indonesia, Dr. Muhammad Zulfikar Rakhmat dalam rencananya yang disiarkan menerusi Internet memaklumkan RMB digunakan dalam kira-kira 10% transaksi perdagangan antarabangsa Indonesia pada masa ini, dan kemungkinan akan dipakai secara lebih luas dalam tahun-tahun akan datang.

Boleh dikatakan, penggunaan RMB secara rentas sempadan akan bertambah rancak terutamanya di sekitar China serta negara-negara Jalur dan Laluan, seiring pengoptimuman dasar berkenaan dan pasaran kewangan domestik lebih terbuka, yang memudahkan pelabur asing menanam modal dalam bentuk aset RMB.

RMB digital yang sedang digunakan secara ujian di beberapa lokasi tertentu, juga dipercayai akan membawa peluang baharu kepada usaha mengantarabangsakan mata wang tersebut. 

曹捷