Spekulasi Politik Bahayakan Nyawa

2020-08-19 14:52:50  CRI
Share with:

Perbuatan menipu dan menyebarkan khabar angin mungkin dapat memuaskan kedahagaan sesetengah politikus untuk kelihatan cekap, namun bukanlah penawar bagi epidemik yang sedang leluasa penularannya.

Sejak awal lagi, spekulasi politik dijadikan senjata oleh sesetengah politikus Washington, selepas mereka ini melalaikan tanggungjawab sendiri dalam membendung wabak. Bagi mengelakkan kritikan, mereka sengaja menghubungkan koronavirus dengan China dan menghasut antagonisme antara kaum, hinggakan ada yang cuba menghidupkan kembali “faham McCarthy” yang sudahpun lapuk.

Bahana perbuatan Washington, yang sengsara itu akhirnya rakyat AS sendiri, yang semakin hari hidupnya semakin bergelut kesukaran akibat wabak.

Satu tinjauan oleh Majlis Dasar dan Perancangan Asia Pasifik (A3PCON) mendapati setakat 15 Julai, seramai 2,300 warga keturunan Asia di negara itu mengaku telah mengalami diskriminasi ras.

The Associated Press (AP) dalam laporannya pula mengatakan krisis virus telah memburukkan masalah ketaksamaan dari segi akses kepada jagaan kesihatan di AS.

Tambahan pula, kelompok minoriti di negara itu lebih mudah terjejas akibat impak wabak terhadap ekonomi. Data Jabatan Buruh menunjukkan pada bulan Jun, kadar pengangguran dalam kalangan orang kulit putih mencatat 10.1%, sedangkan bagi warga keturunan Afrika dan Amerika Latin masing-masing 15.4% dan 14.5%.

Institusi penyelidikan berkenaan di AS menegaskan bahawa jurang antara lapisan kaya dengan miskin di negara itu telah kembali ke paras seratus tahun lalu. Sikap politikus yang hanya mementingkan laba politik sendiri tanpa mempedulikan nasib rakyat, dianggap faktor utama yang membawa kepada senario semasa.  

Warga emas, etnik minoriti dan orang miskin, golongan paling teruk terjejas akibat wabak ini. Tinjauan pendapat umum syarikat analitik dan pakar runding Gallup baru-baru ini merumuskan hanya 13% warga AS yang berpuas hati dengan keadaan negara sendiri, paling rendah sejak Ogos 2011.

Masa berlalu tidak dapat disekat. Sudah sampailah saatnya untuk politikus AS berhenti mencari kambing hitam, kerana spekulasi politik bukanlah ubatnya untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

曹捷