Saranan China Suntik Kedinamikan Ekonomi Global

2020-09-05 16:29:23  CRI
Share with:

Saranan dan inisiatif yang diketengahkan Presiden Xi Jinping bagi memajukan perdagangan perkhidmatan global sekali lagi memperlihatkan komitmen China untuk meningkatkan keterbukaan pintu.

Ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Perdagangan Perkhidmatan Global sempena Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2020 semalam, Presiden Xi telah mengemukakan tiga saranan bagi memantapkan kerjasama perdagangan perkhidmatan di peringkat global.

Pertama, menyediakan suasana yang terbuka dan inklusif untuk kerjasama. Kedua, mendinamikkan momentum kerjasama yang dipacu inovasi termasuk mempercepat pendigitalan sektor tersebut. Dan ketiga, membuka dimensi baharu kerjasama saling untung, di samping memperkasakan penyelarasan dasar yang berkaitan serta menginovasi mod kerjasama.

Tiga saranan tersebut dianggap selaras dengan trend semasa perdagangan perkhidmatan, berlandaskan keperluan kerjasama antarabangsa dalam sektor tersebut.

Yang turut menarik perhatian ialah pelbagai inisiatif yang diumumkan beliau bagi menggalakkan sektor perkhidmatan China. Ini termasuk menyokong pembinaan zon demonstrasi komprehensif peringkat negara di Beijing bagi memperluas keterbukaan sektor perkhidmatan, dan menubuhkan zon rintis perdagangan bebas yang berorientasikan inovasi sains dan teknologi, keterbukaan sektor perkhidmatan dan ekonomi digital. 

Melalui inisiatif tersebut, struktur perdagangan China dipercayai akan terus dioptimumkan sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi global.

张哲