China, Malaysia Perlu Perbanyak Filem Berunsur Budaya dan Sejarah

2020-09-15 15:02:37  CRI
Share with:

Kerjasama dalam bidang perfileman antara syarikat Malaysia dengan China perlu diperbanyakan lagi.

Presiden KRU Entertainment merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Norman Abdul Halim berpendapat bahawa kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan antaranya dari sudut budaya dan sejarah.

“Kandungan yang berkaitan seni warisan China jarang dapat dilihat di Malaysia begitu juga yang sebaliknya. Malaysia dan China mempunyai ciri-ciri yang sama dari sudut budaya serta sejarah dan saya berharap lebih banyak kerjasama akan diwujudkan pada masa akan dating,” ujar Norman.

Tambahnya, China juga harus lihat Malaysia sebagai destinasi perfileman strategik dan beliau percaya usaha sama antara kedua-dua negara boleh mewujudkan situasi saling menang.

“Kami ada banyak kerjasama dengan studio luar negara termasuk Barat, dan dengan pengalaman itu tentunya kita boleh berikan satu hasil dengan kualiti tersendiri.

“Selain itu, kita juga ada tarikan rebat produksi sebanyak 30 peratus dan mempunyai akses di pasaran lain seperti di Timur Tengah serta Eropah.

“Saya juga percaya penerbit Malaysia akan turut dapat meraih keuntungan menerusi jumlah penonton yang ramai di China,” kata Norman.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG) semasa menghadiri Festival Filem Antarabangsa Beijing (BIFF) 2020 di Beijing, China pada Ogos lepas.

Menyentuh mengenai perancangan jangka pendek KRU Entertainment, Norman memberitahu bahawa syarikatnya sedang bekerjasama dengan syarikat China yang berpangkalan di Beijing untuk menerbitkan sebuah filem animasi iaitu Zan Orang Utan.

“Kerjasama kami dengan VSOCloud bermula pada tahun 2018 ketika menerbitkan filem Wheelie yang ditayangkan ke lebih 100 negara.

“Ketika itu juga, kami dapati bahawa China mempunyai teknologi dan perkhidmatan yang begitu tinggi yang sekali gus dari situ lahirnya hasrat untuk menerbitkan filem animasi baharu ini,” tambah Norman.

张弘