Lagi Bohong, Tanda Tiada Moral

2020-09-18 14:49:13  CRI
Share with:

Kerajaan China semalam mengedarkan kertas putih mengenai jaminan pekerjaan di Xinjiang, yang memberi gambaran jelas bahawa dasar pekerjaan yang dilaksanakan di sana menghormati sepenuhnya hasrat pekerja dan melindungi hak mereka mengikut undang-undang.

Dokumen yang memetik data terperinci turut menjadi bukti praktik China yang selaras dengan standard pekerja dan hak asasi antarabangsa, membantu penduduk tempatan membina kehidupan lebih indah sekali gus memberi jaminan semaksimum mungkin terhadap hak golongan pekerja.

Namun begitu, sebilangan politikus Amerika Syarikat (AS) kebelakangan ini mereka-reka khabar angin berlakunya "kerja paksa" di Xinjiang, semata-mata kerana prejudis dan tekanan pilihan raya di negara mereka sendiri. Tuduhan seumpama telah disangkal seluruhnya oleh kertas putih terbaharu ini, yang boleh dirumuskan dengan dua ungkapan kunci iaitu "menghormati keinginan" dan "melindungi hak".

Menurut dokumen itu, adalah menjadi prinsip paling asas bagi kerajaan China untuk menghormati keinginan rakyat dan menghapuskan sebarang bentuk kerja paksa. Ketika melaksanakan dasar-dasar berkaitan pekerjaan, keperluan rakyat amat diutamakan. Ini berkesan dalam menggalakkan aliran lancar tenaga kerja, di samping menambah baik kemampanan serta tahap kepuasan hati dalam pasaran kerja. Berkat dasar-dasar pekerjaan yang dilaksanakan, kesejahteraan hidup penduduk Xinjiang terus-menerus meningkat.

Perkembangan ini bagaimanapun tidak diendahkan politikus AS itu. Sebaliknya, mereka memutarbelitkan kebenaran, menabur fitnah dengan sewenang-wenangnya, dan berlagak prihatin akan isu hak asasi manusia di Xinjiang, namun mengenakan sekatan terhadap syarikat tempatan.  

Perbuatan mereka ini mengakibatkan penduduk Xinjiang yang menyara hidup dengan bergantung pada penanaman kapas dan pembuatan alat ganti kehilangan peluang kerja. Politikus AS yang hipokrit inilah sebenarnya yang mencabul hak asasi manusia penduduk Xinjiang.

徐国玮