Saranan Xi Signifikan Untuk Pertahan Multilateralisme

2020-09-23 12:08:30  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan dalam persidangan peringkat tinggi sempena ulang tahun ke-75 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin lalu, telah mengemukakan cadangan dalam empat perkara mengenai peranan PBB pasca COVID-19, iaitu menegakkan keadilan, menjunjung kedaulatan undang-undang, menggalakkan kerjasama dan memberi tumpuan kepada tindakan sebenar.

Cadangan berkenaan dianggap signifikan bagi mempertahankan multilateralisme tatkala amalan perlindungan, unilateralisme dan hegemoni kembali muncul gara-gara terdapat segelintir negara yang mahu melihat konfrontasi tercetus di dunia.

Dalam pada itu, “menegakkan keadilan” bermaksud kesamarataan antara semua negara perlu dijamin, dan suara negara-negara membangun harus dilantangkan.

“Menjunjung kedaulatan undang-undang” pula bermakna Piagam PBB mesti dijadikan pedoman asas bagi mengendalikan hubungan antarabangsa. Perkara ini kondusif bagi memelihara keamanan dunia, dan mengelakkan tindakan memutarbelitkan undang-undang antarabangsa.

Semasa mengetengahkan cadangan bagi menggalakkan kerjasama, Presiden Xi menekankan perlunya konflik digantikan dengan dialog, dan urusan antarabangsa ditangani melalui perundingan bersama.

Beliau turut menyarankan supaya usaha merungkai cabaran bukan tradisional seperti kesihatan awam diutamakan dalam kerja-kerja PBB, begitu juga isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan.

“China akan sentiasa menjadi pengamal multilateralisme," inilah komitmen yang dibuat Presiden Xi kepada seluruh dunia.

China akan terus berganding bahu dengan negara-negara lain bagi membantu PBB memainkan peranan yang lebih besar, dan membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan. 

张哲