China, Malaysia Perkukuh Sinergi

2020-10-14 16:55:52  CRI
Share with:

China dan Malaysia berganding bahu mengatasi kesulitan semasa hingga mencapai hasil yang memuaskan dalam pembendungan pandemik COVID-19, sekali gus memantapkan lagi ikatan persahabatan yang sedia terjalin.

Menteri Luar China, Wang Yi memberitahu bahawa jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala menyaksikan peningkatan ketara biarpun seluruh dunia terkena tempias teruk ekoran COVID-19, sementara kerjasama dalam pelbagai bidang terus dipergiat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sempena lawatan rasmi ke Malaysia, semalam.

Menurut Wang, kedua-dua pihak telah mencapai beberapa persepakatan penting hasil mesyuarat  yang memfokuskan usaha sama merungkai cabaran semasa serta pembangunan hubungan dua hala untuk jangka panjang.

Pertama, memperhebat penyelarasan dan koordinasi bersifat strategik.

Kedua, memperdalam sinergi bagi menewaskan wabak. China bersedia terus berkongsi pengalaman berkaitan pencegahan dan kawalan wabak serta rawatan pesakit dengan Malaysia, di samping menjalankan kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan, pengeluaran dan pemerolehan vaksin.

Ketiga, mewujudkan tiga laluan utama untuk mempermudah perjalanan rentas sempadan iaitu “laluan pantas” bagi pertukaran kakitangan, “laluan hijau” bagi edaran barangan, dan “laluan nyawa” bagi pengangkutan bahan makanan.

Keempat, mempercepat usaha sama membangunkan Jalur dan Laluan. China dan Malaysia akan terus mempergiat program kerjasama, termasuk dua taman perindustrian dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Selain itu, China akan terus menambah pengimportan minyak kelapa sawit dari Malaysia.

Kelima, menggalakkan pembentukan ekonomi dunia yang terbuka. China mengalu-alukan kehadiran Malaysia selaku negara tetamu utama dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketiga yang dijadualkan berlangsung di Shanghai bulan depan.

Keenam, mengintensifkan kerjasama antara China dengan ASEAN.

Ketujuh, memelihara kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan. China dan negara-negara ASEAN memiliki kemampuan, kebijaksanaan serta tanggungjawab penuh untuk menjaga keamanan di perairan tersebut.

Kelapan, memperkasakan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa. Selaku wakil negara membangun dan entiti ekonomi baru muncul di Asia, China dan Malaysia harus bersama-sama mempertahankan dan mempraktikkan multilateralisme, menentang hegemoni dan politik kuasa, serta menyumbang kepada kebangkitan Asia dan pembangunan dunia.

董筱娉