Vaksin Diuji Lawan Varian Baharu COVID-19

2020-12-25 13:33:39  CRI
Share with:

Beberapa syarikat farmaseutikal kini sedang berlumba-lumba untuk menguji keberkesanan vaksin COVID-19 mereka terhadap varian baharu yang ditemui di Britain.

Berdasarkan kenyataan Moderna kepada rangkaian televisyen CNN seperti dilaporkan Reuters, syarikat itu yakin vaksin COVID-19 yang dibangunkannya mampu berfungsi membuat tubuh membentuk imuniti terhadap virus bermutasi berkenaan.

Pada beberapa minggu akan datang, Moderna akan melakukan lebih banyak ujian untuk memastikan vaksinnya dapat memberikan perlindungan daripada varian baharu.

Pada masa sama, Pfizer menyatakan, pihaknya sedang mengkaji sampel darah dari golongan kebal terhadap virus selepas disuntik vaksin, dengan tujuan untuk menilai tahap keberkesanan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Soumya Swaminathan berkata, mutasi baharu berkenaan setakat ini tidak memberikan kesan besar kepada ubat yang sedang digunakan dalam rawatan terapeutik  atau vaksin di tengah-tengah pembangunan.

董筱娉