Perdagangan China, EU Capai Kemajuan Signifikan

2020-12-31 15:02:34  CRI
Share with:

China dan Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan kedua-dua pihak telah berjaya memuktamadkan rundingan perjanjian pelaburan kedua-dua pihak mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengumuman tersebut dilakukan pada pertemuan secara maya antara Presiden China, Xi Jinping dengan Canselor Jerman, Angela Merkel, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada malam tadi.

Menurut Presiden China, Xi Jinping, negaranya bukan sahaja berusaha untuk membina situasasi pembangunan yang baharu, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka ruang kerjasama kepada Eropah sahaja, malah juga kepada dunia.

Pada masa sama, Xi juga berharap supaya Eropah dapat mempertahankan perdagangan bebas dan multilateralisme, menyediakan iklim perniagaan yang terbuka, serta bertindak adil tanpa diskriminasi.

Dalam pada itu, pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama pragmatik China-Eropah berjaya mengekalkan momentum yang seterusnya menghasilkan pencapaian serta trend perkembangan yang baik.

Untuk rekod, EU kini merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi China selepas ASEAN, manakala China berada di tangga teratas sebagai rakan dagang terbesar bagi EU.

Statistik terkini turut menunjukkan, walaupun tercetus pandemik Covid-19, jumlah nilai perdagangan dua hala China-Eropah berjaya mencatat USD581.28 bilion (RM2.34 trilion), iaitu peningkatan sebanyak 3.5 peratus.

Antaranya, kadar produk barang-barang elektronik dan teknologi canggih dalam jumlah pengeksportan China ke EU masing-masing meningkat ke 61 peratus dan 28 peratus pada tahun 2019 dari 51 peratus dan 19 peratus pada tahun 2001.

Sementara itu, industri perkhidmatan China-Eropah turut sama berkembang maju dengan catatan sebanyak USD140.7 bilion (RM568.4 bilion) pada tahun lepas, sekali gus mencipta rekod tertinggi dalam sejarah.

高蕾