China Keluarkan Kertas Putih tentang Kawalan Eksport

2021-12-29 15:21:35  CRI
Share with:

Satu kertas putih berhubung kawalan eksport buat pertama kalinya dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menurut jabatan itu, kertas tersebut adalah bertujuan untuk menerangkan pendirian, sistem dan amalan China dalam menyempurnakan tadbir urus kawalan eksport.

Selain itu, ia juga menjelaskan anjuran dan tindakan China dalam pemeliharaan kedamaian serta pembangunan dunia, keselamatan negara dan antarabangsa.

Memetik kertas putih itu, ia menyebut bahawa dunia ini sedang menghadapi perubahan yang tidak pernah dialami dalam seratus tahun yang lalu, sekali gus mengakibatkan sistem dan aturan keselamatan antarabangsa terkesan.

Justeru, kawalan eksport secara adil, rasional dan tanpa diskriminasi dilihat akan berperanan penting dalam mengatasi ancaman dan cabaran sejagat, serta kedamaian dan pembanungan dunia.

Turut dinyatakan dalam kertas putih itu adalah, China kini lebih aktif mengambil bahagian dalam proses globalisasi ekonomi dengan mengekalkan konsensus keselamatan negara yang menyeluruh pada era baharu.

Tambahan lagi, China juga komited kepada pembinaan sistem ekonomi yang terbuka dan negara yang selamat pada taraf lebih tinggi, serta mendorong dalam pemodenan sistem kawalan eksport.

Serentak itu, China melaksanakan tanggungjawab antarabangsa dengan bersungguh-sungguh termasuk dengan memperkasakan pertukaran dan kerjasama, selain bertindak selaras dengan norma antarabangsa dalam bidang kawalan eksport.

Mempunyai lebih 9,000 perkataan, kertas putih tersebut terdiri daripada empat kandungan, iaitu pendirian asas China mengenai kawalan eksport, penambahbaikan sistem perundangan dan sistem pengurusan kawalan eksport, penggalakan pemodenan sistem kawalan eksport, dan mengaktifkan lagi pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam sektor kawalan eksport.