VOA Dicela Menari Ikut Rentak Kerajaan Caci China

2021-12-29 16:37:51  CRI
Share with:


Kelakuan Amerika Syarikat (AS) dan stesen penyiar Voice of America (VOA) mempolitikkan hak asasi menjadikan dunia ditimpa musibah, dan menyebabkan negara lain terjebak ke dalam kancah permasalahan sosial.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam taklimat rutin pada Selasa, sebagai respons terhadap laporan VOA yang menuduh China mencemari hak asasi dan kedaulatan undang-undang di Hong Kong serta melakukan pembunuhan beramai-ramai di Xinjiang.

Zhao turut membalas dengan mengatakan, VOA sentiasa bersikap prejudis apabila membuat liputan tentang China, apatah lagi mustahil ditemuinya kata-kata yang baik berhubung China dalam laporannya.

Zhao memetik seorang bekas kakitangan VOA sebagai berkata, dia mendapati keadaan sebenar di China adalah berlainan daripada laporan berita yang dibacakannya kepada pendengar setiap hari.

Malahan didedahkannya, kepimpinan VOA ditukar semata-mata kerana mereka mempromosikan lebih banyak berita pro-China.

Zhao turut berkata, VOA buat beberapa lama menari mengikut rentak kerajaan AS untuk menindas dan membendung China dengan mempolitikkan pelbagai isu dan melemparkan stigma.

Daripada mencetuskan pergeseran perdagangan hingga mencipta “virus China”; daripada menindas syarikat berteknologi tinggi China hingga tidak menghantar pegawai kerajaan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing; daripada menuduh China mengekang kebebasan hingga mengheboh-hebohkan isu hak asasi di Hong Kong dan Xinjiang, jari VOA menyentuh banyak bidang termasuk ekonomi dan perdagangan, usaha melawan COVID-19, sains dan teknologi, sukan dan lain-lain.