Perutusan Tahun Baharu 2022 Presiden Xi Jinping

2021-12-31 21:22:30  CRI
Share with:


Sempena kedatangan tahun baharu 2022, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusannya melalui Kumpulan Media China (CMG) dan Internet.


Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,

 

Salam sejahtara. Di ambang tahun 2022 ini, saya di Beijing ingin mengucapkan selamat tahun baharu buat anda semua!

 

Tahun 2021 membawa makna yang amat luar biasa, menyaksikan banyak peristiwa penting dalam sejarah Parti Komunis China (PKC) dan negara China. Di titik baharu dalam matlamat perjuangan "Dua Seratus Tahun", kami memulakan usaha membangunkan China sebagai negara sosialis moden secara menyeluruh, dan terus mengorak langkah dalam perjalanan menuju kebangkitan nusa serta bangsa.

 

Sepanjang tahun, semua orang sibuk tak kira di mana jua... sama ada di sawah, pejabat korporat, komuniti, sekolah, hospital, kem tentera dan institusi pengajian sains. Setiap keringat membuahkan hasil.

 

Sedar tak sedar, kita sendiri melihat dan merasai China sebagai sebuah negara yang makmur dan cukup dinamik, mempunyai rakyat yang disegani, pesat membangun dan terus menerus menghasilkan kemajuan dalam segenap aspek.

 

Pada 1 Julai, kita meraikan dengan meriah ulang tahun ke-100 penubuhan PKC. Biar dibadai ribut petir, PKC berjaya memimpin seluruh rakyat mengharungi ujian dan dugaan yang getir.

 

Sekiranya kita setia dengan visi asal, kita pasti dapat merealisasikan cita-cita. Cekal dan tekun, itulah resipi untuk tidak mengecewakan sejarah, masa dan rakyat.

 

Tiga resolusi bersejarah telah diluluskan pada sidang pleno ke-6 Jawatankuasa Pusat Ke-19 PKC. Pencapaian dalam seabad lalu adalah memberangsangkan, pengalaman yang terkumpul pula menjadi sumber inspirasi.

 

Saya memetik perbualan antara mendiang Pengerusi Mao Zedong dengan Encik Huang Yanpei di Yan'an bahawa hanya revolusi sendiri yang berdaya untuk mewujudkan inisiatif bersejarah.

 

Adalah mustahil kebangkitan bangsa diwujudkan dengan mudah, dan matlamat itu juga takkan menjadi kenyataan dalam masa yang singkat tanpa mengharungi sebarang kesulitan.

 

Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap potensi risiko walaupun berada dalam suasana yang aman, serta mengekalkan fokus strategik dan keazaman.

 

Seperti negara kita yang besar, kita juga mempunyai keutamaan yang banyak. Pada dasarnya, setiap urusan boleh dikatakan berkaitan dengan kehidupan rakyat. Saya telah mendapat taklimat dan inspirasi apabila turun padang. Kesulitan yang dihadapi rakyat menjadi keprihatinan saya, dan kata-kata mereka sentiasa saya sematkan dalam hati.

 

Perihal rakyat adalah apa yang saya cakna, dan aspirasi rakyat pula adalah apa yang saya perjuangkan. Sebagai orang yang juga berasal dari kampung, isu kemiskinan adalah sangat dekat dengan saya.

 

Melalui usaha turun-temurun, mereka yang terperangkap dalam kemiskinan pada masa dahulu, kini bukan sahaja cukup dengan makanan dan pakaian, tetapi juga dapat bersekolah, dan menikmati jaminan dari segi penginapan dan perubatan.

 

Masyarakat makmur sederhana dan pembasmian kemiskinan adalah sumbangan PKC untuk rakyat negara ini dan dunia. Dalam memperjuangkan kehidupan yang lebih bahagia, kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan pencapaian setakat ini kerana masih jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuhi.

 

Perlindungan baik Sungai Kuning adalah suatu yang diidam-idamkan rakyat China sejak zaman dahulu. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah menjejakkan kaki ke sembilan wilayah di kawasan aliran sungai itu.

 

Baik Sungai Kuning, mahupun Sungai Yangtze yang digelar sebagai sungai ibunda, ataupun Tasik Qinghai yang jernih dan Sungai Yarlung Zangbo yang airnya menderu-deru; baik projek penyaliran air dari selatan ke utara, mahupun "peta hijau" di ladang hutan Saihanba; baik pengembaraan gajah liar di Yunnan, mahupun penghijrahan antelop Tibet... kesemuanya mencerminkan maksud sebenar simbiosis alam semula jadi yang tidak akan mengecewakan manusia, selagi mana manusia menghargainya.

 

Banyak juga kisah, momen dan suara China yang dirakam sebagai kenangan sepanjang tahun ini. Sumpah setia oleh pemuda untuk berbakti memajukan negara; penjelajahan Zhurong ke Marikh, satelit Xihe mengelilingi matahari, dan modul teras stesen angkasa Tianhe mengeksplorasi ruang angkasa; aksi cemerlang atlet di pentas sukan; setiap rakyat bersatu padu dalam melawan COVID-19; anggota tentera setia melindungi tanah air... Ini semua adalah dedikasi oleh wira tidak didendang yang memberi momentum untuk China terus mara dalam era baharu ini.

 

Kemakmuran dan kestabilan Hong Kong dan Makau sentiasa dekat di hati tanah air. Berkolaborasi dan berganding bahu adalah penting bagi memantapkan pelaksanaan dasar "satu negara, dua sistem".

 

Penyatuan semula tanah air merupakan hasrat bersama saudara setanah air di kedua-dua pantai Selat Taiwan. Seluruh rakyat China diharap bergandingan ke arah mencipta masa depan bangsa yang lebih gemilang.

 

Dalam perbualan menerusi panggilan telefon dan video, pemimpin asing dan pertubuhan antrabangsa telah kerap kali memberi pujian kepada usaha China dalam membendung pandemik COVID-19, dan sumbangan negara ini kepada dunia.

 

Setakat ini, China telah menyediakan sebanyak dua bilion dos vaksin COVID-19 kepada lebih 120 buah negara dan pertubuhan antarabangsa. Dengan menjulang semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dunia dapat menyingkap lembaran baharu dalam pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

 

Kira-kira sebulan lagi, Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Beijing akan membuka tirainya. Penyertaan lebih ramai rakyat dalam sukan ais dan salji juga merupakan sumbangan kepada Olimpik. Kita sudah bersedia untuk menyajikan temasya Olimpik yang gemilang untuk dunia.

 

Loceng tahun baharu akan berdering. Tatkala kita sedang bercakap, tiga angkasawan China sedang menjalankan misi di angkasa lepas, sementara perantau China, pegawai diplomat, kakitangan syarikat dan pelajar di seberang laut juga setia kepada tugas masing-masing untuk mengejar impian. Di sini, saya menghargai usaha hebat anda dan ingin ucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada anda semua.

 

Marilah kita berusaha bersama-sama melangkah ke masa depan. Semoga negara kekal aman dan rakyat dilimpahi kesejahteraan!