Menteri Luar China Sambung Tradisi Lawat Afrika

2021-12-31 13:25:24  CRI
Share with:

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi bakal membuat lawatan ke Eritrea, Kenya dan Comoros pada 4 hingga 7 Januari depan.

Agenda tersebut sebagai kesinambungan tradisi menteri luar China melakukan lawatan pertamanya pada tahun baharu ke negara Afrika, yang diamalkan sejak 32 tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian dalam taklimat rutin pada Khamis berkata, hal ini memperlihatkan betapa China mementingkan persahabatan tradisional serta perkembangan hubungan dengan Afrika.

"China dan Afrika merupakan rakan seperjuangan dalam usaha mempertahankan kedaulatan, menentang hegemonisme, memantapkan pembangunan, serta menegakkan keadilan antarabangsa.

"Walau apa jua perubahan berlaku pada situasi antarabangsa, hasrat dan tekad kedua-dua pihak untuk mengekalkan pertukaran muhibah, mengukuhkan komunikasi strategik dan berdiri teguh menyokong satu sama lain tidak akan goyah.

"Ini juga erti sebenar komuniti berkongsi nasib China-Afrika pada era baharu," kata Zhao.

Wang Yi dijadual meneruskan lawatan ke Maldives dan Sri Lanka selepas mengakhiri kunjungan ke tiga negara Afrika tersebut.