Wang Yi: Afrika Pentas Kerjasama, Bukan Gelanggang Persaingan

2021-01-07 13:08:13  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi memberitahu bahawa benua Afrika merupakan pentas untuk kerjasama antarabangsa, dan tidak sepatutnya dijadikan gelanggang persaingan antara kuasa besar.

Dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya dari Nigeria, Geoffrey Onyeama di Abuja pada Selasa, Wang berkata, ikatan persahabatan yang terjalin antara China dengan Afrika bertambah kukuh selepas mengharungi pelbagai ujian dan cabaran.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Negara berkata, China menghulurkan bantuan kepada negara Afrika tanpa sebarang syarat politik, dan tidak pernah mencampuri urusan dalaman Afrika.

Dalam pada itu, Wang turut memberitahu bahawa perdagangan dua hala dan jumlah pelaburan China di Afrika masing-masing menyaksikan peningkatan 20 kali ganda dan 100 kali ganda dalam tempoh 20 tahun sejak penubuhan Forum Kerjasama China-Afrika.

Pada tempoh yang sama, China telah membantu membina 6,000 kilometer landasan kereta api, 6,000 kilometer jalan raya, hampir 20 pelabuhan, lebih 80 kemudahan janakuasa elektrik berskala besar, lebih 130 infrastruktur perubatan, 45 stadium dan lebih 170 buah sekolah di benua Afrika.

Selain itu, China juga telah mengerahkan 21 ribu anggota perubatan ke 48 negara Afrika, menyediakan perkhidmatan rawatan untuk 220 juta pesakit.

Jelas Wang, kerjasama China-Afrika membawa perubahan ketara bagi memacu pembangunan sosioekonomi tempatan, sekali gus memperbaik kehidupan rakyat negara-negara Afrika.

Beliau turut berkata, adalah tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa untuk menyokong pembangunan Afrika.

Pelbagai negara harus menjalankan kerjasama dengan Afrika berdasarkan prinsip menghormati kedaulatan dan aspirasi Afrika, agar membawa kebaikan kepada kesejahteraan rakyat benua itu.

张哲