Dunia Diseru Bersatu Jaga Biodiversiti

2021-01-13 12:32:54  CRI
Share with:

Naib Perdana Menteri China, Han Zheng menyeru dunia menggembleng tenaga melindungi biodiversiti, semasa menghadiri sidang kemuncak Satu Planet yang diadakan secara maya pada Isnin.

Berucap pada sidang itu,  Han memberitahu Persidangan ke-15 Negara-negara Anggota Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP15) bakal diadakan di Kunming tahun ini. Semua pihak hendaklah berganding bahu dan bertindak segera untuk menggariskan rangka tindakan perlindungan biodiversiti dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tegas beliau, semua pihak perlu meningkatkan komunikasi untuk mewujudkan situasi sama menang; mengkaji dan menetapkan sasaran tindakan pasca 2020 secara saintifik bagi memastikan supaya ia rasional dan mampu dilaksanakan; selain meningkatkan mobilisasi sumber dan jaminan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan di negara-negara membangun.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam ucapannya pula menyeru masyarakat antarabangsa mewujudkan keharmonian antara manusia dengan alam sekitar.

Beliau juga memandang perubahan iklim dan penularan pandemik COVID-19 sebagai padah daripada perbuatan manusia merosakkan alam sekitar.

Presiden Perancis yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu, Emmanuel Macron menggesa masyarakat antarabangsa melihat krisis semasa secara betul dan bertindak lebih aktif untuk melindungi alam sekitar.

Beliau juga menekankan empat isu yang menjadi fokus sidang kali ini iaitu perlindungan ekosistem darat dan laut, pemuliharaan ekologi pertanian, mobilisasi modal untuk memelihara biodiversiti dan menangani perubahan iklim, serta penjagaan hutan tropikal, spesies dan kesihatan manusia.

张哲