IMF: China Dorong Kedinamikan Pemulihan Ekonomi Global

2021-02-08 13:01:09  CRI
Share with:

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva menyatakan bahawa China akan mendorong kepada kedinamikan pemulihan ekonomi global.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu, beliau berkata kenyataan itu adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi China yang dipacu oleh penggunaan domestik, yang sekali gus memperlihatkan keterbukaan yang terus diperluaskan.

Menurutnya, China merupakan satu-satunya entiti ekonomi utama yang mewujudkan pertumbuhan positif sepanjang tahun 2020 di seluruh dunia. IMF juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi China akan mencatat kadar 8.1 peratus pada tahun ini.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pemulihan ekonomi di China sedang memberikan pengaruh positif kepada pelbagai negara, khususnya entiti ekonomi yang mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang rapat dengan negara itu.

Ketika mengulas berkenaan ekonomi global, beliau memberikan amaran bahawa ekonomi dunia sedang menghadapi risiko pemulihan yang tidak selaras.

Jelasnya, meskipun pertumbuhan ekonomi dunia diunjurkan pada kadar 5.5 peratus oleh IMF pada tahun ini, namun sebanyak 150 entiti ekonomi tidak dapat memulihkan ekonomi masing-masing kepada tahap sebelum penularan pandemik menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu katanya, perselisihan pendapatan antara negara maju dengan negara membangun turut sama dilihat terus meningkat.

Untuk itu, beliau menggesa pelbagai negara supaya berusaha mengatasi masalah tersebut menerusi beberapa cara antaranya mempercepat pengeluaran vaksin dan menyempurnakan pengagihan vaksin, selain memberikan bantuan kepada negara membangun.

Tambah Georgieva, dasar bantuan juga perlu terus dilaksanakan bagi membantu untuk memulihkan ekonomi, khususnya kepada golongan yang terjejas teruk akibat pandemik ini.

Akhir sekali, beliau berpendapat bahawa pelbagai negara perlu merapatkan kerjasama antarabangsa, sementara perjanjian Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang telah tercapai sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya bagi membatal atau mengurangkan hutang kepada negara-negara paling mundur.

覃淼