WHO Tolak Dakwaan COVID-19 Berpunca dari Makmal Wuhan

2021-02-10 13:35:32  CRI
Share with:

Kumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya telah melawat ke sembilan buah lokasi untuk mengkaji asal usul virus COVID-19 bersama-sama dengan kumpulan pakar dari China.

Dalam satu sidang media yang diadakan di bandar Wuhan pada Selasa, WHO memberitahu ia adalah termasuk Hospital Jinyintan, pasar basah Huanan, dan pusat pengajian virus Akademi Sains Wuhan China.

Pada masa sama, WHO turut melaporkan bahawa pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kakitangan perubatan, penyelidik makmal, pihak pengurusan dan peniaga di pasar basah selain kakitangan di komuniti perumahan, pesakit yang sembuh, anggota keluarga kakitangan perubatan yang terkorban serta penduduk setempat.

Menurut WHO, antara hasil daripada kajian yang dilaksanakan adalah pihaknya mendapati kebarangkalian bagi kelawar dan tenggiling untuk menjadi sebagai sumber langsung kepada COVID-19 disifatkan sebagai tidak mencukupi, meskipun susunan gen neo-koronavirus di dalam kedua-dua haiwan tersebut adalah mirip dengan susunan gen COVID-19.

Walau bagaimanapun, WHO berpendapat bahawa kelawar, tenggiling, musang, kucing dan beberapa spesies haiwan lain mempunyai kebarangkalian untuk menjadi hos semula jadi kepada virus tersebut.

Sementara itu, virus COVID-19 turut didapati dalam ujian persekitaran di pasar basah Huanan dengan gerai hasil makanan laut paling menonjol.

Jelas WHO, wabak COVID-19 mungkin tersebar melalui pesakit, produk rantaian sejuk yang terjangkit, dan produk haiwan di pasar Huanan, namun sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Memetik kenyataan kumpulan pakar tersebut, penularan wabak COVID-19 berlaku dalam kalangan manusia di bandar Wuhan pada bulan Disember tahun 2019 dengan kebanyakan kes berlaku pada separuh bulan kedua sementara pasar basah Huanan menjadi antara tempat yang diberikan tumpunan perhatian badan kawalan dan pencegahan wabak.

Namun, mengikut hasil penyelidikan yang dilaksanakan, terdapat kes positif yang disahkan di tempat lain di bandar Wuhan tatkala kes tertumpu di pasar basah itu.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pakar tersebut telah menjalankan penilaian terhadap empat saluran yang mempunyai kemungkinan dalam penyebaran wabak kepada manusia, iaitu jangkitan langsung, produk rantaian sejuk, hos semula jadi dan makmal.

Hasil penilaian daripada rumusan yang dilakukan, ia telah dibahagikan kepada lima peringkat iaitu "sangat tidak mungkin", "tidak mungkin", "mungkin", " berkemungkinan besar", dan "sangat berkemungkinan".

Untuk itu, wabak COVID-19 "berkemungkinan besar" disebarkan kepada manusia melalui hos semula jadi, dan "mungkin" dijangkiti secara langsung atau melalui produk rantaian sejuk, sementara "sangat tidak mungkin" melalui makmal.

覃淼