AS Diharap Bertindak Sehaluan dengan China

2021-03-20 16:01:40  CRI
Share with:

Dialog strategik peringkat tinggi antara China dengan Amerika Syarikat (AS) telah diadakan di Anchorage, Alaska pada 18 hingga 19 Mac.

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), yang juga Ketua Pejabat Jawatankuasa Hubungan Luar Jawatankuasa Pusat PKC, Yang Jiechi, Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi menyertai dialog tersebut.

Yang Jiechi memberitahu wartawan, dialog dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dan Penasihat Keselamatan, Jake Sullivan selama dua hari itu bermanfaat bagi meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak.

Menurut Yang, wakil kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan yang membina mengenai dasar dalam dan luar masing-masing serta hubungan dua hala.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa China dan AS masih mempunyai perselisihan pendapat dalam beberapa isu.

Tegas beliau, China akan dengan teguh memelihara kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan sendiri.

Beliau turut melahirkan harapan agar China dan AS dapat memperkasakan interaksi, komunikasi dan dialog dalam pelbagai bidang, menangani hubungan dua hala berdasarkan prinsip tidak berkonflik dan konfrontasi, saling menghormati dan bekerjasama demi situasi menang-menang.

Wang Yi memberitahu wartawan bahawa China menyertai dialog kali ini dengan penuh keikhlasan kerana dialog lebih baik daripada konfrontasi. Namun, dialog mesti dijalankan berdasarkan prinsip saling menghormati, mencari persamaan di samping mengetepikan perselisihan.

Mengenai beberapa masalah yang telah wujud lama, kedua-dua negara boleh menyelesaikannya melalui dialog.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingkatkan pihak AS agar jangan memandang rendah tekad China untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara.

Wang menegaskan, pendirian China mengenai hubungan dengan AS adalah jelas dan konsisten. AS diharap bertindak sehaluan dengan China, khususnya menghormati dan menjaga kepentingan dan keperihatinan utama masing-masing.

胡星