Wang Yi: Mantapkan Hubungan China, Jepun

2021-04-06 14:52:44  CRI
Share with:

China dan Jepun harus mengikuti arus sezaman, saling menghormati, mempercayai, dan mengadakan kerjasama menang-menang agar menyumbang kepada pemeliharaan kedamaian dan pembangunan serantau dan antarabangsa.

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Jepun, Motegi Toshimitsu melalui telefon semalam.

Wang menyatakan bahawa kedua-dua pihak harus memanfaatkan pembaikan hubungan dua hala, melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh Presiden, Xi Jinping dengan Perdana Menteri, Suga Yoshihide pada tahun lalu, mematuhi prinsip dan semangat empat dokumen politik, tidak terlibat dalam konfrontasi antara kuasa besar bagi memantapkan hubungan kedua-dua negara.

Sementara itu, China berharap Jepun bersikap objektif terhadap pembangunan China dan jangan mengikuti beberapa negara yang mempunyai prejudis terhadap China.

Wang Yi menegaskan, China bersedia memperkasakan kerjasama pragmatik dengan Jepun, saling menyokong untuk menjayakan Sukan Olimpik di Tokyo dan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing serta membina hubungan yang stabil dan sihat antara kedua-dua negara.

Motegi Toshimitsu pula berkata, hubungan yang mantap antara Jepun dengan China bukan sahaja penting bagi kedua-dua negara ini, malah signifikan bagi rantau ini bahkan dunia. Hubungan bersekutu antara Jepun dengan Amerika Syarikat (AS) tidak menyasarkan pihak ketiga yang tertentu.

Beliau menyatakan, Jepun memberikan perhatian yang tinggi terhadap hubungan dengan China dan komited memantapkan hubungan tersebut. Pihaknya bersedia mengekalkan komunikasi dengan China, meningkatkan dialog dan kepercayaan di samping mengawal percanggahan pendapat agar membina suasana yang baik bagi sambutan ulang tahun ke-50 penormalan hubungan kedua-dua negara serta memperkasakan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

徐国玮