Vaksin China Penting Untuk Pakistan Hadapi Gelombang Ketiga COVID-19

2021-04-27 12:46:56  CRI
Share with:

Vaksin China Penting Untuk Pakistan Hadapi Gelombang Ketiga COVID-19_fororder_vv

Pakistan menyifatkan bekalan kumpulan ketiga vaksin China sebagai sangat penting dalam usaha untuk menangani cabaran gelombang ketiga penularan wabak COVID-19.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Pakistan, Omar Ayub Khan berkata, vaksin buatan China didapati amat berkesan dalam mencegah jangkitan koronavirus selain dapat meningkatkan imuniti tubuh badan.

"Vaksin China menunjukkan tahap keberkesanan dan keselamatan yang memuaskan, sekali gus menjadikannya antara yang terbaik di dunia.

"China yang dahulunya lebih terkenal dengan teknologi kejuruteraan kini memperlihatkan kemajuannya dalam bidang biokimia dan penghasilan vaksin," kata beliau ketika menyambut ketibaan sumbangan vaksin tersebut, di Islamabad pada Isnin.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan atas bantuan kerajaan China dalam pemerolehan vaksin tersebut.

Turut hadir pada majlis penyerahan vaksin COVID-19 tersebut adalah Duta Besar China ke Pakistan, Nong Rong.

Menurut beliau, Pakistan merupakan negara pertama menerima sumbangan vaksin China dengan kuantiti yang paling banyak.

"Ini mencerminkan hubungan kukuh kedua-dua negara dan China akan terus menghulurkan bantuan kepada Pakistan dalam memerangi wabak," ujarnya.

Buat masa ini, Pakistan berada di tengah gelombang ketiga penularan wabak, dengan lonjakan kes harian sebanyak 5,000, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus melepasi 800,000.

董筱娉