Minggu Pelancongan dan Kebudayaan China Ke-3 dilancarkan di Britain secara maya pada Jumaat.
Minggu pelancongan dan kebudayaan yang bertemakan 'China yang Indah, Manfaat Bersama Rakyat' ini akan berlangsung selama dua bulan hingga penghujung Jun.
Menurut jadualnya, aktiviti yang diadakan pada bulan Mei akan memfokuskan tema-tema seperti inisiatif Jalur & Laluan (BRI), muzik, makanan dan teh.
Sempena itu, Festival Muzik Antarabangsa China-Britain Keempat, forum khas, tayangan dokumentari tentang masakan China akan diadakan untuk menggalakkan pertukaran antara tamadun yang berbeza.
Selain itu, aktiviti pada bulan Jun akan tertumpu kepada tema China termasuk pembangunan kawasan luar bandar, Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dan budaya masakan China.
Kuasa Usaha Sementara China ke Britain, Yang Xiaoguang dalam ucapan melalui videonya menyatakan, minggu pelancongan dan kebudayaan China tahun ini mengetengahkan komunikasi antara tamadun berbeza, demi manfaat bersama rakyat.
Beliau berharap kedua-dua negara terus meningkatkan kerjasama dalam pelancongan dan kebudayaan, membuka lembaran baharu dalam kerjasama dan perpaduan untuk mengatasi cabaran semasa.