Piagam PBB Batu Asas Multilateralisme

2021-05-06 13:54:12  CRI
Share with:

Satu sidang dialog  interaksi sempena memperingati Hari Antarabangsa Multilateralisme dan Diplomasi untuk Kedamaian telah diadakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Turut menyertai sidang tersebut adalah wakil tetap China ke PBB, Zhang Jun serta wakil agensi utama PBB iaitu  Setiausaha Agung PBB, António Guterres, Pengerusi Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkir, Pengerusi Majlis Ekonomi dan Sosial PBB, Munir Akram dan Hakim Mahkamah Antarabangsa, Joan E. Donoghue.

Pada sidang tersebut, isu berkaitan sokongan multilateralisme dan pemerkasaan peranan PBB turut dibangkit dan dibincangkan bersama dengan negara anggota PBB.

Menurut Zhang Jun yang juga merangkap Pengerusi Bergilir Majlis Keselamatan PBB, badan itu memikul tanggungjawab utama dalam melindungi keamanan dan keselamatan antarabangsa selain menyifatkan Piagam PBB sebagai batu asas kepada multilateralisme.

"Bagi menyokong multilateralisme, Majlis Keselamatan PBB perlu melindungi prinsip Piagam PBB dan tata tertib antarabangsa yang berasaskan undang-undang antarabangsa", ujarnya.

Dalam pada itu, Zhang menekankan bahawa tindakan perlindungan keamanan dan utusan khas politik merupakan alat penting untuk melindungi keamanan dan keselamatan sejagat.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu terus berusaha untuk mendorong menyelesaikan konflik secara aman, di samping mencegah pencetusan konflik dan usaha pembinaan semula pasca konflik.

"Majlis Keselamatan PBB perlu terus meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi lain PBB, mempergiat interaksi dan penyelarasan dengan pertubuhan serantau dan aktif mendengar pandangan yang bersifat membina daripada segenap lapisan masyarakat", tambah Zhang.

Untuk rekod, Hari Antarabangsa Multilateralisme dan Diplomasi untuk Kedamaian telah ditetapkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2018.

张宪