Duta Besar Malaysia ke China Kagum Gagasan Basmi Kemiskinan

2021-05-26 16:10:14  CRI
Share with:

Gagasan Xi Pamer Kebertanggungjawaban China sebagai Kuasa Besar_fororder_IMG_20210525_115022

Pencapaian objektif pembasmian kemiskinan mutlak di China telah mempamerkan kejayaan kerajaan yang ditadbir oleh Parti Komunis China (PKC).

Demikian kata Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG) di Beijing pada Selasa.

Menurut beliau, kejayaan tersebut turut membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada China, dan boleh dilihat dari pelbagai sudut termasuk dalam aspek peningkatan pendapatan rakyat.

Nushirwan turut berpandangan, kekuatan kader parti itu di setiap pelosok China merupakan antara penyumbang kejayaan pembasmian kemiskinan tempatan.

"Secara peribadinya, saya dah lihat sendiri pelbagai provinsi serta kampung serata China dan saya kagum dengan pengetahuan yang dimiliki oleh kader parti.

"Ketika saya melawat sebuah kampung di Provinsi Zhejiang, setiausaha parti di situ mampu menjawab soalan-soalan saya mengenai kampung tersebut termasuk jumlah isi rumah, kadar pembangunan dan kemiskinan, serta masalah yang dialami penduduk tempatan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Nushirwan turut menyuarakan kekagumannya terhadap gagasan Presiden Xi Jinping, khususnya terhadap pembangunan komuniti berkongsi nasib sesama insan yang membawa erti seluruh penduduk dunia adalah satu keluarga.

Jelasnya, meskipun masih berstatus sebagai negara membangun, China telah mendemonstrasikan sifat kebertanggungjawaban termasuk dengan usaha menjadikan vaksin COVID-19 sebagai produk awam global.

Dalam pada itu, Nushirwan juga berpendapat bahawa pelbagai inisiatif yang diusahakan Presiden China itu juga boleh dijadikan sebagai contoh antaranya seperti hubungan antarabangsa model baharu.

"Kalau kita lihat, ragam kuasa besar mengikut sejarah kebiasaannya gemar untuk menguasai negara-negara kecil dan ia bertentangan dengan dasar kerajaan China.

"China sebagai negara kuasa besar sentiasa mengambil pendekatan yang membawa kepada situasi menang-menang," tambah beliau.

Pada masa sama, Nushirwan berkata Malaysia berasa senang dengan pendekatan Xi sambil turut menyatakan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam konteks Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Sebagai contoh katanya, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah projek infrastruktur terbesar yang didukung oleh syarikat China dengan jumlah keseluruhan sekitar USD11 bilion.

Ketika diminta menyentuh mengenai situasi menangani pandemik COVID-19, Nushirwan berkata bahawa kedua-dua negara telah berganding bahu sejak peringkat awal dan usaha berkenaan masih berterusan sehingga kini.

"Pada awal penularan wabak, Malaysia telah menghulurkan bantuan berbentuk sarung tangan getah kepada China dan kemudiannya China pula membantu dari segi kepakaran serta pengalaman yang sangat membantu kerana tiada negara berjaya membendung wabak ketika itu melainkan China.

"Walaupun kes (di Malaysia) semakin meningkat ketika ini, saya yakin dengan pengalaman tersebut, kita dapat membendung semula keadaan," ujar Nushirwan.

张哲