WHO Lulus Penggunaan Kecemasan Vaksin Sinovac

2021-06-02 14:49:21  CRI
Share with:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan, vaksin COVID-19 CoronaVac yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal China, SINOVAC Biotech Ltd. mendapat kelulusan untuk penggunaan kecemasan secara rasmi, pada Selasa.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang taklimat berkata, vaksin SINOVAC terbukti selamat, berkesan dan mempunyai kualiti yang terjamin.

Sementara itu, vaksin SINOVAC yang mudah disimpan itu adalah sesuai digunakan di persekitaran yang lebih sukar.

Berdasarkan pendapat pakar imuniti, CoronaVac itu dicadangkan WHO untuk digunakan bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas.

Walaupun data ujian klinikal vaksin CoronaVac bagi golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas masih sedikit, namun WHO tidak mengesyorkan penetapan had usia bagi penerima suntikan berikutan sifat vaksin yang bertindak sebagai pelindung untuk golongan warga emas.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao dalam kenyataannya menyebut bahawa masyarakat antarabangsa memerlukan lebih banyak jenis vaksin COVID-19 untuk menyelesaikan ketidaksamarataan pemerolehan vaksin.

WHO juga menggesa syarikat pengeluar vaksin menyertai Kemudahan Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX) yang diketuai oleh WHO serta berkongsi ilmu dan data untuk memberikan sumbangan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

CoronaVac yang dihasilkan syarikat SINOVAC merupakan vaksin kedua dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal China yang disenaraikan untuk penggunaan kecemasan WHO selepas vaksin SINOPHARM.

徐国玮