WHO Sahkan China Bebas Penyakit Malaria

2021-06-30 13:52:10  CRI
Share with:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan China bebas daripada penyakit malaria menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan kejayaan China itu adalah hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah ketat bagi mengekang penularan wabak tersebut secara berterusan buat beberapa dekad.

Kenyataan itu menyebut, skim kesihatan awam yang ditawarkan kepada rakyat secara percuma merupakan antara kunci kejayaan China dalam menghapuskan jangkitan malaria.

Selain itu, pesakit juga diberi jaminan untuk mendapatkan akses kepada rawatan perubatan dengan harga yang berpatutan.

Pada masa sama, WHO turut memuji kecekapan kolaborasi antara jabatan di China dalam memastikan tindakan kawalan dan pencegahan malaria dilakukan secara berkesan.

Difahamkan, China telah meningkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi wabak malaria bagi mengelakkan penularan tempatan yang berpunca daripada kes import.

Untuk rekod, negara itu pernah merekodkan 30 juta kes jangkitan berkenaan setiap tahun pada 1940-an.

Dengan tercapainya kejayaan sifar kes malaria dalam tempoh empat tahun berturut-turut, ia sekali gus menyaksikan China diiktiraf WHO menerusi Pensijilan Eliminasi Malaria.

董筱娉