Hari Bahasa Mandarin PBB Vienna 2021 Disaji dengan Opera, Pingtan dan Akrobat

2021-07-06 12:50:40  CRI
Share with:

Bertemakan "wariskan sejarah, teruskan kecemerlangan", Hari Bahasa Mandarin PBB Vienna 2021 telah dirasmikan, di sini, pada Isnin.

Dianjurkan oleh delegasi China di PBB, aktiviti tersebut diadakan secara maya menerusi pelbagai saluran media baharu perdana.

Wakil tetap China ke PBB, Wang Qun ketika menyampaikan ucaptamanya berkata, pandemik COVID-19 membuatkan manusia menyedari tentang hakikat berkongsi nasib.

Jelasnya, banyak pihak semakin berusaha untuk mendorong "diplomatik secara maya" dan mengintensifkan kerjasama pelbagai hala.

Justeru kata Wang, aktiviti hari bahasa Mandarin diadakan untuk merapatkan hubungan pelbagai pihak, di samping meningkatkan pengetahuan dan persefahaman dengan China.

Turut hadir pada upacara tersebut adalah Ketua Pengarah Pertubuhan Pembangunan Industri PBB, Li Yong, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi, dan lebih 200 orang wakil dari  70 buah negara serta pertubuhan antarabangsa.

Ketika berlangsungnya sesi persembahan kesenian, artis dari China telah mempersembahkan seni seperti nyanyian, opera, Pingtan, akrobat dan tarian etnik.

Dijadualkan  berlangsung hingga 9 Julai nanti, persembahan kebudayaan bertemakan Kota Larangan (Forbidden city), Dunhuang dan opera kawasan Delta Sungai Yangtze akan dijamu kepada penonton.

Untuk rekod, bahasa Mandarin merupakan salah satu daripada enam jenis bahasa rasmi PBB dan Hari bahasa telah dimulakan sejak 2010 untuk mendorong kesamarataan penggunaan keenam-enam jenis bahasa itu di PBB.

张宪