China Seru Kerjasama ASEAN Bagi Tangani Cabaran Keselamatan Serantau

2021-08-07 14:46:40  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi menyeru negara-negara ASEAN mengamalkan multilateralisme yang sebenar, meningkatkan perpaduan dan kerjasama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, selain menangani bersama cabaran keselamatan di rantau ini.

Ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN ke-28 yang diadakan secara maya semalam, Wang Yi yang juga anggota Dewan Negara China menyeru agar meningkatkan penyelarasan dalam penyusunan sumber kesihatan dan sanitasi di rantau in untuk bersama-sama menghadapi cabaran yang dibawa pandemik COVID-19. Menurut beliau, setakat ini, China telah menyediakan 460 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara Asia, termasuk lebih 190 juta dos vaksin kepada negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Wang juga menyeru pelbagai negara memperkasa kerjasama pelbagai hala untuk menangani bersama cabaran keselamatan bukan konvensional, dan isu-isu serantau yang meliputi cuaca melampau, keganasan, jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.

Menurut Wang, kedudukan penting ASEAN perlu dipelihara untuk menghadapi konfrontasi geopolitik. Pelbagai pihak juga diseru berwaspada dan mencegah suatu kuasa besar di luar rantau ini mempromosikan strategi serantau yang baharu.

Di samping itu, Wang Yi menyarankan negara ASEAN berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara lain dan bersama-sama menghadapi cabaran yang dibawa politik kuasa besar. Beliau menyeru kesamarataan antara pelbagai negara dan mencela mereka yang bertopeng demokrasi mengaut keuntungan geopolitik.

Negara ASEAN juga disarankan meneruskan rundingan damai bagi menyelesaikan isu hangat di rantau ini. Menurut Wang, China komited bekerjasama dengan negara ASEAN untuk membentuk dengan secepat mungkin Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan, substantif dan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk  Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).  

Dalam perkembangan lain, menteri-menteri luar dari negara ASEAN menyeru agar mengekalkan kedamaian dan kestabilan Laut China Selatan, meningkatkan perpaduan dan kerjasama, menumpukan kepada usaha melawan wabak dan memulihkan ekonomi, bersama-sama menangani kesukaran dan cabaran yang dihadapi dalam proses pembangunan.  

曹捷