COVID-19: China Intensifkan Usaha Lawan Delta

2021-08-10 11:34:41  CRI
Share with:

China terus berwaspada dan mengintensifkan usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19 membabitkan varian Delta.

Setakat Ahad, 20 individu yang dijangkiti varian itu di Nanjing, ibu kota provinsi Jiangsu dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani rawatan.

Difahamkan, hampir 600,000 sukarelawan terus terlibat dalam usaha memantau keadaan kesihatan golongan yang berisiko tinggi terdedah kepada virus COVID-19 di bandar itu.

Di Zhengzhou, ibu kota provinsi Henan yang juga merekodkan kes jangkitan baharu, ujian asid nukleik (NAT) pusingan ketiga mula dijalankan terhadap semua penduduk pada Sabtu.

Manakala, kerajaan Wuhan, ibu kota provinsi Hubei dalam satu sidang media pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya telah menyelesaikan program NAT secara besar-besaran yang dimulakan pada Selasa minggu lalu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan Wuhan turut melaporkan bahawa sembilan individu yang menjalankan kuarantin kendiri didapati positif virus COVID-19.

Sehubungan dengan itu, langkah seperti kawalan di tempat pelupusan sampah di dalam komuniti terbabit turut dipergiat, termasuk menyahjangkit lokasi setiap dua jam sekali.

Di bandar Jinan, provinsi Shandong pula, pihak berkuasa mengarahkan supaya bungkusan luar semua produk sejuk beku dinyahjangkit.

Di samping itu, kerajaan China turut mengeluarkan arahan supaya usaha membendung penularan wabak di kawasan desa diperkasakan, selain memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan dan harga pasaran.

张哲