Apa Itu Dasar “Satu China”?

2021-08-12 15:25:04  CRI
Share with:

Apa Itu Dasar “Satu China”?_fororder_src=http-%2F%2Fww1.sinaimg.cn%2Fmw690%2F6b5215bbgy1gt0fo0e39fg20ts0gmu0z.gif&refer=http-%2F%2Fwww.sina

Kelmarin, China bertindak memanggil balik Duta Besarnya ke Lithuania gara-gara negara itu membenarkan pihak berkuasa Taiwan untuk membuka pejabat perwakilan rasmi di situ.

Ini sebenarnya telah melanggar dasar “satu China” yang juga merupakan perjanjian oleh setiap negara keitka menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

“Satu China” itu prinsip yang dipegang China ketika mengembangkan hubungan diplomatik.

Pada tahun 1949, Parti Komunis China menewaskan rejim Republik China pimpinan Kuomintang dan menubuhkan Republik Rakyat China.

Bagaimanapun, Kuomintang melarikan diri ke pulau Taiwan meneruskan pentadbiran Republik China dengan sokongan Amerika Syarikat. Pada ketika itu, kedua-dua pihak menuntut bahawa masing-masing mempunyai kedaulatan terhadap seluruh China.

Ketika itu jugalah dunia ada dua China.

Menginjak ke tahun 1970an, dengan perubahan situasi antarabangsa, dunia Barat berniat mendapat sokongan China bagi melawan Kesatuan Soviet, sekali gus memulakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, sementara wakil dari Taiwan pula diusir dari PBB.

Situasi itu kemudiannya menyaksikan Republik Rakyat China menjadi satu-satunya wakil bagi China di PBB.

Sejak itu, di dunia ini hanya ada satu China yang diiktiraf umum, iaitu “Republik Rakyat China”.

Pada masa sama, hubungan antara Tanah Besar dengan Taiwan pula ketika itu masih dalam perang saudara iaitu kedua-duanya belum menandatangani perjanjian gencatan senjata.

Bagi menjamin kepentingan penduduk di pulau Taiwan, hubungan ekonomi dan kebudayaan dengan pelbagai negara lain serta menyertai pertubuhan antarabangsa diizinkan, tapi dengan syarat menggunakan nama Chinese Taipei.

Sebab itu jugalah kalau anda lihat ada kontinjen Chinese Taipei dalam Sukan Olimpik. Ia sama seperti kontinjen Hong Kong yang menyertai Sukan Olimpik sebagai satu kawasan.

Realitinya, kerajaan China tidak pernah menyekat Chinese Taipei dalam arena antarabangsa.

Pelbagai negara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China diizinkan mengadakan hubungan ekonomi dan budaya dengan Chinese Taipei, cuma statusnya tidak berdaulat, yakni tidak menjalinkan hubungan rasmi dengan negara lain, termasuk membuka pejabat perwakilan dengan nama Taiwan.

Justeru, tindakan Lithuania kali ini melanggar prinsip yang dipegang oleh setiap negara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

Bagaimanapun, dalam kenyataan Lithuania pula, mereka menyatakan bahawa ia tidak melanggar dasar “satu China” sambil berpegang yang mereka berhak menjalinkan hubungan dengan Taiwan, bahkan berpendapat arahan China hanya bersifat sementara dan Duta Besar China akan kembali ke Lithuania dalam tempoh satu dua tahun.

Jelas kita boleh lihat, di belakang Lithuania dalangnya ialah AS.

Menagapa? Sebab tanpa berlengah, mereka segera keluarkan kenyataan yang menyatakan sokongan terhadap Lithuania dan memberitahu bahawa setiap negara berhak menafsirkan maksud dasar “satu China”.

Dalam erti kata lain, cakap-cakap kosong saja pun boleh, sama seperti apa yang sedang dibuat oleh AS sendiri, iaitu mereka mengiktiraf dasar “satu China”, tapi pada masa yang sama menjual senjata canggih kepada Taiwan untuk mengancam kestabilan serantau.

AS tidak berani memikul risiko sekiranya hubungan dengan China terus terjejas.

Jalan pintas mereka adalah menjadikan Lithuania sebagai boneka untuk melihat respons dari China.

Ini bukan kali pertama sebenarnya. Dalam beberapa tahun ini sahaja, Lithuania telah beberapa kali didalang AS untuk menjejaskan kerjasama serantau dengan China, termasuk menarik diri daripada mekanisme kerjasama China-Eropah Timur dan Tengah (17+1).

Pada dinding Dewan Perbandaran Vilnius, ibu kota Lithuania terukir perkataan dari bekas Presiden AS, George H. W. Bush yang menyebut “Siapa yang memilih bermusuh dengan Lithuania adalah musuh AS.”

Ketika ditanya sama ada yakin pada kenyataan George H. W. Bush tersebut, ada pakar Lithuania mengambil masa seketika sebelum menjawab bahawa mereka hanya boleh memilih yakin.

Kita boleh lihat bahawa prinsip diplomatik antarabangsa sewenang-wenangnya boleh ‘diterjemahkan’ semula berdasarkan kepentingan AS.

Itulah sebenarnya “peraturan antarabangsa” yang AS suruh China mematuhi.

张弘