Dagangan dan Pelaburan China, Negara BRI Catat Prestasi Kukuh

2021-08-13 14:39:18  CRI
Share with:

Jumlah keseluruhan import dan eksport China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini melonjak sebanyak 25.5 peratus kepada 6.3 trilion yuan (RM4.12 trilion).

Prestasi cemerlang itu diumumkan kerajaan menerusi satu laporan terkini mengenai aktiviti perdagangan dan pelaburan antara China dengan negara berkenaan.

Menurut laporan itu, meskipun berada dalam situasi penularan wabak COVID-19, eksport masih meningkat dengan kadar 25.3 peratus, manakala import menokok 25.7 peratus.

Naib Presiden Akademi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa China (CAITEC), Zhang Wei menyatakan, peningkatan dalam import dan eksport itu banyak didorong oleh kerjasama yang diperkasa untuk membendung wabak.

“Baik peralatan perubatan, mahupun pengalaman merawat pesakit, kami sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu negara BRI mengendalikan wabak.

“Kerjasama ini juga membantu mereka menghidupkan semula ekonomi sendiri,” ujar beliau.

Memetik laporan tersebut, perdagangan perkhidmatan antara China dengan negara BRI pada 2020 direkodkan melebihi USD84 bilion (RM355.6 bilion).

Pada masa sama, negara terbabit turut mencatat aliran masuk pelaburan langsung dari China sebanyak USD18.6 bilion (RM78.7 bilion), iaitu tatkala pelaburan langsung asing global menyusut 35 peratus ketika itu.

董筱娉