Perkukuh Kerjasama Sumber Tenaga Rendah Karbon Jadi Fokus Ekspo China-Negara Arab Ke-5

2021-08-16 13:41:20  CRI
Share with:

Ekspo China-Negara Arab dan Sidang Kemuncak Kerjasama China-Negara Arab (CASCF) Ke-5 akan memfokuskan kepada kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang sumber tenaga, sejajar dengan aliran sejagat dalam usaha revolusi sumber tenaga serta perkembangan industri hijau dan rendah karbon.

Dalam sidang media pada Ahad, sepanjang berlangsungnya ekspo dan CASCF yang dijadualkan pada 19 hingga 22 Ogos di Yinchuan, wilayah autonomi Ningxia China itu, para peserta akan membincangkan tentang peluang untuk memperdalam kerjasama China-Arab bagi mencapai puncak pelepasan karbon dioksida dan status karbon neutral.

Difahamkan, perbincangan akan menumpu kepada teknologi aplikasi sumber tenaga bersih, ekonomi rendah karbon, transformasi sumber tenaga, memperluaskan kerjasama China dan negara Arab dalam lebih banyak bidang termasuk tenaga suria, tenaga angin, tenaga nuklear dan tenaga hidrogen dengan usaha sama bidang tradisional yang meliputi minyak dan gas asli.

Naib pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Wilayah Ningxia, Wang Hanwu berkata, kelebihan China dan negara Arab dalam bidang pasaran, teknologi dan sumber tenaga akan dimanfaatkan bagi memperkasa kerjasama kedua-dua pihak dalam minyak, gas asli, dan sumber tenaga rendah karbon.

"Selain meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga suria, tenaga angin, tenaga hidroelektrik dan penggunaan tenaga nuklear secara damai, kedua-dua pihak juga akan menggalakkan usaha mengkomersialkan tenaga hidro dan tenaga terkumpul bagi pembentukan paradigma baharu kerjasama," ujarnya.

Pada ekspo kali ini, pameran bahan baharu sumber tenaga bersih akan diadakan secara fizikal dan maya untuk mempromosikan produk dan teknologi baharu sumber tenaga bersih yang meliputi tenaga alternatif, tenaga terkumpul dan tenaga nuklear.  

Untuk rekod, peserta daripada 28 negara dilaporkan akan mengambil bahagian dalam ekspo itu, mankala sebanyak 29 syarikat akan mempamerkan produk masing-masing secara dalam talian.    

高蕾