Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 Berkonsepkan Hijau

2021-08-16 12:13:59  CRI
Share with:

Zhangjiakou, kota tuan rumah bersama untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 sedang mempergiat kerja-kerja persiapannya sambil berazam menjadikan ia sebagai temasya dengan persekitaran yang lestari.

Terdahulu, jawatankuasa penganjur temasya itu pada 2019 memperincikan rancangan untuk menjadikan acara itu berorientasikan "hijau, inklusif, terbuka dan bersih" selaras dengan matlamat pembangunan lestari PBB.

Justeru, bagi mewujudkan matlamat temasya berkarbon rendah, dua langkah telah diambil Zhangjiakou iaitu membina gelanggang yang dapat dimanfaatkan pasca temasya dan menggunakan tenaga boleh dibaharui.

Difahamkan, Zhangjiakou turut mempunyai sembilan gelanggang untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik Musim Sejuk pada tahun 2022, yang dibina mengikuti konsep Sukan Olimpik hijau.

Ia termasuk empat untuk pertandingan serta lima bukan untuk pertandingan, dan kesemuanya telah diuji pada bulan Februari lalu.

Genting Snow Park, venue pertandingan acara ski gaya bebas dan papan luncur salji akan dibuka semula pasca temasya itu sebagai pusat ski awam selain menjadi tempat pameran.

Ia sekali gus membolehkan individu yang tidak dapat mengikuti Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 untuk menikmati kemudahan dan suasana menakjubkan sempena temasya sukan itu.

Pengarah pejabat Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing di Genting Resort, Wang Baoqi berkata, pihaknya telah memberikan perhatian kepada isu perlindungan alam sekitar sejak fasa permulaan seperti merancang, mereka bentuk dan membina pelbagai kemudahan.

Jelas beliau, bahan hijau digunakan untuk membina kemudahan dan ia juga boleh digunakan berulang kali.

Tamba Wang lagi,  pihaknya turut membina air sistem kitar semula, termasuk pengumpulan air hujan, serta sistem pengairan penanaman hutan.

曹捷