Anak Kapal Shenzhou-12 Bersedia untuk Aktiviti Luar Kenderaan

2021-08-18 13:18:41  CRI
Share with:

Kru Shenzhou-12 China sudah siap sedia untuk menjalankan tugas di luar stesen buat kali kedua, umum Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China pada Selasa.

Untuk rekod, tiga angkasawan telah bekerja dan menetap di orbit selama dua bulan setelah berjaya memasuki Modul Teras Tianhe di Stesen Angkasa Lepas pada 17 Jun.

Dalam tempoh itu, kehidupan harian mereka telah dirakamkan menerusi kamera panoramik yang dilengkapi pada Tianhe.

Difahamkan bahawa rakaman berkenaan dikirim secara berterusan kepada pasukan penyelidik ergonomi di bumi, untuk mengkaji perasaan dan pengalaman angkasawan, serta menilai taraf kualiti kapal untuk penerbangan pada jangka masa panjang.

Selain itu, para angkasawan juga bertanggungjawab mengawal kompleks modul teras, mengumpul data untuk 14 projek dalam bidang perubatan angkasa lepas serta penyelidikan saintifik dan ujian teknologi angkasa lepas.

Dimaklumkan, sebelum melakukan perjalanan di angkasa lepas, ketiga-tiga mereka telah menjalani latihan fizikal di orbit selama seminggu, serta turut melaksanakan latihan berkaitan prosedur keluar kenderaan dengan panduan pasukan di bumi pada Isnin.

Dalam pada itu, susulan terdapatnya perubahan individu untuk tugas keluar kenderaan kali ini, tiga angkasawan telah menyesuaikan saiz sut masing-masing, menambah jumlah bekalan yang dibawa, sekali gus menambah baik prosedur keluar kenderaan berpandukan pengalaman yang pertama.

Selain latihan asas, ujian paru-paru dan urin angkasawan juga dilakukan bagi memastikan fizikal masing-masing berada dalam keadaan baik.

Pusat Kawalan Angkasa Lepas Beijing akan mengatur instrumen dan rangkaian untuk mengawasi dan mengesan kompleks berkenaan dalam 24 jam bagi menjayakan pelaksanaan tugas berkenaan.

高蕾