Pang Wei, Dari Budak Penggemar Pistol Mainan ke Juara Olimpik

2021-08-19 12:43:20  CRI
Share with:

Pada 27 Julai lalu, pertandingan acara menembak berpasukan campuran 10 meter pistol udara Sukan Olimpik Tokyo diadakan. Atlet China, Jiang Ranxin dan Pang Wei mengalahkan pesaing dari Rusia, Batsarashkina dan Chernousov dan memenangi kejuaraan. Pang Wei memenangi satu pingat emas lagi setelah Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pang Wei dilahirkan di bandar Baoding, provinsi Hebei, pada tahun 1986. Sejak kecil lagi, budak itu mempunyai minat yang besar terhadap pistol mainan, dan mainan itu terdapat di mana-mana sahaja di rumahnya.

Pada suatu hari ketika Pang Wei berumur 14 tahun, seorang jiran melihat Pang Wei bermain dengan pistol mainannya di lorong, lalu pakcik itu berkata: "Asyik bermain pistol ya. Kenapa tak cuba berlatih menembak?"

"Memang betul! Bermain dengan pistol benar lagi menarik!" Sambil bercakap dengan diri, Pang Wei segera berlari ke rumah dan meminta bapanya menghantarnya belajar menembak.

Pakcik yang memujuk Pang Wei berlatih menembak bukanlah gurau saja. Beliau berkenalan dengan seorang jurulatih menembak di bandar itu.

Bapa Pang tak boleh tahan permintaan anaknya, jadi pergi ke rumah pakcik itu untuk berbincang dengannya. Pakcik itu berbesar hati nak membantu mereka berhubung dengan jurulatih itu.

Pada suatu pagi, bapa Pang membawa Pang Wei pergi ke Sekolah Sukan Kedua Baoding untuk berjumpa dengan jurulatih menembak, Zhang Guangwei.

Mereka memasuki pejabat Zhang dan memberitahu kehendak mereka.

Zhang melihat Pang Wei dengan teliti lalu bertanya: "Ada basikal tak?" Bapa Pang segera menjawab: "Ada, kami ada basikal."

"Baik, pukul 7.30 esok pagi, awak berbasikal dan jumpa saya di depan rumah saya. Inilah alamatnya." kata jurulatih Zhang lalu memberikan kertas yang tertulis alamatnya kepada Pang Wei.

Pada keesokan paginya, Pang Wei datang ke rumah jurulatih itu. Tepat pukul 7.30, Zhang keluar dari rumahnya dan menyuruh Pang Wei mengayuh basikal itu membawanya ke sekolah sukan.

Pang Wei terkejut, kerana dia masih kanak-kanak dan tak pernah membawa orang dewasa dengan berbasikal.

“Jom kita pergi!” suruh Zhang.

Pang Wei baru sedar dan terus mengayuh basikal, manakala jurulatih Zhang melompat duduk di belakang basikalnya. Berjalan tak sampai satu kilometer, Pang Wei sudah penat dan berpeluh.

Dalam perjalanan itu, terdapat cerun jalan yang semakin meninggi di depan. Pang Wei mengayuh basikal dengan penuh tenaga dan berasa letih lalu bercakap dengan Zhang, "Aduh, Encik sungguh berat sangat!”

Jurulatih Zhang menjawab, "Kau berasa penat kerana cuma lihat puncak cerun saja. Kau patut menumpukan semua perhatian pada gerakan mengayuh basikal sampai ke puncak.”

Pang Wei ikut nasihat jurulatih dan berusaha mengayuh.

Selepas sampai ke sekolah sukan, Pang berfikir: "Tibalah masa bagi saya main dengan pistol yang benar".

Namun, jurulatih Zhang membawanya ke sudut padang sukan dengan membawa empat buah batu bata. Beliau meletakkan dua batu bata pada tanah dan menyuruh Pang Wei berdiri di atasnya.

"Tangan ke depan!" kata Zhang, suruh Pang Wei untuk mengangkat tangannya ke depan, lalu meletakkan dua lagi batu bata itu pada tapak tangannya.

"Ya betul, kekalkan posisi ini ya hingga saya balik." Lalu Zhang meninggalkan Pang Wei berseorangan sahaja di sudut padang sukan itu.

Tak sampai 10 minit, Pang Wei dah berasa amat penat, dengan seluruh badannya menggigil.

Pada petang hari itu, Pang Wei juga menunggang basikal dan membawa jurulatih Zhang duduk di belakang. Selepas tiba di rumah, jurulatih Zhang tidak membiarkan Pang Wei pergi, tetapi mengeluarkan dua mangkuk dan sepasang penyepit dari dapur. Satu mangkuk adalah kosong, dan yang lain diisi penuh dengan kacang soya.

"Kau menggunakan penyepit ini untuk mengambil kacang soya dari mangkuk ini ke dalam mangkuk kosong sebiji demi sebiji. Lepas tu, kau boleh pulang". 

Pang Wei ikut arahan jurulatih dan berbuat demikian menggunakan tangan yang bergementar. Pada ketika itu, bunyi memasak kedengaran dari dapur. Keluarga Zhang sedang menyediakan makanan malam.

Ketika makanan disiapkan, Pang Wei baru sahaja selesai mengambil semua kacang itu.

"Jom duduk, makanlah sebelum balik, saya dah bagitahu ayahmu". kata Zhang.

Dengan itulah, Pang Wei menjadi pelajar jurulatih Zhang, dan budak yang suka bermain dengan pistol mainan itu telah menjadi seorang atlet.

Melalui latihan bersungguh-sungguh, Pang Wei berjaya memenangi kejuaraan dalam Pertandingan Menembak Remaja Kebangsaan China pada tahun 2002. Pada ketika itu, Pang Wei berumur 16 tahun.

Pada tahun 2005, Pang Wei yang berumur 19 tahun dipilih dan diterima pasukan menembak kebangsaan China kerana bakatnya yang cemerlang. Pang menjadi atlet yang paling muda dalam pasukan itu.

Pada tahun 2006, Pang memenangi pingat emas pertamanya dalam Kejohanan Dunia. Dua tahun kemudian, Pang memperoleh pingat emas dalam pertandingan pistol udara 10 meter Sukan Olimpik Beijing.

Berbalik kepada 27 Julai 2021, Pang Wei sekali lagi berdiri atas pentas hadiah Olimpik. Dia dan rakannya Jiang Ranxin saling menyarungkan pingat emas, dan menyaksikan kenaikan bendera lima bintang di Tokyo.

王瑾