China Dijangka Capai Imuniti Kelompok dengan 80 Peratus Populasi Lengkap Suntikan:Pakar

2021-08-22 13:23:20  CRI
Share with:

China Dijangka Capai Imuniti Kelompok dengan 80 Peratus Populasi Lengkap Suntikan:Pakar_fororder_bbbb

China dijangka mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus populasinya lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19, kata pakar epidemiologi, Zhong Nanshan.

Beliau yang juga ahli Akademi Kejuruteraan China berkata, dapatan kajian tentang kluster baharu di Guangzhou pada Mei menunjukkan, vaksin domestik mampu memberikan perlindungan sebanyak 60 peratus terhadap varian Delta, manakala 100 peratus berkesan dalam menghalang jangkitan teruk.

Menurut beliau, tahap antibodi akan meningkat lebih sepuluh kali ganda apabila dos ketiga diberikan selepas enam bulan lengkapnya dua suntikan.

Pakar berprestij itu dijemput berkongsi secara maya hasil penyelidikan terkini berhubung vaksin pada satu seminar kesihatan sempena Ekspo China-Negara Arab ke-5 di wilayah Ningxia, pada Jumaat.

Zhong turut merujuk kepada pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac, yang telah diterbitkan dalam jurnal The New England Journal of Medicine (NEJM) pada Julai.

Data diperoleh daripada sepuluh juta warga Chile berusia 16 tahun ke atas yang lengkap divaksin menunjukkan, Sinovac didapati mengurangkan 65.9 peratus jangkitan COVID-19, menurunkan kemasukan hospital 87.5 peratus, mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) 90 peratus, manakala mengelak daripada kematian 86 peratus.

Selain itu, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, Sinovac yang diguna pakai di Turki mampu memberikan perlindungan sebanyak 83.5 peratus, dan tiada sebarang kesan sampingan serius atau kes kematian membabitkan suntikan vaksin berkenaan dilaporkan.

董筱娉