China, Filipina Komited Kukuhkan Hubungan Bilateral

2021-08-28 15:24:39  CRI
Share with:

China komited berusaha bersama dengan Filipina untuk mengukuhkan hubungan persahabatan dan kejiranan kedua-dua negara.

Presiden China, Xi Jinping berkata demikian dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Rodrigo Duterte semalam.

Xi Jinping berkata, China menaruh perhatian besar terhadap hubungan dengan Filipina dan menyokong dasar luar yang bebas dan damai negara itu.

Presiden Xi turut menyatakan kesediaan untuk mengekalkan perhubungan rapat dengan Presiden Rodrigo Duterte bagi  bertukar-tukar pendapat tentang isu yang menjadi kepentingan bersama.

Sementara itu, Xi Jinping menyifatkan usaha menewaskan pandemik COVID-19 dan mewujudkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi sebagai tugas yang paling mendesak bagi pelbagai negara.  Dengan ini, Xi berkata, China akan terus bekerjasama dengan Filipina dalam usaha memerangi wabak tersebut.

"China dan Filipina telah membuahkan hasil penting dalam usaha menyelaraskan pelaksanaan rancangan Pembangunan Besar-Besaran Filipina dengan pembangunan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China. China komited berusaha bersama dengan Filipina untuk melaksanakan lebih banyak projek yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat kedua-dua negara'" ujar Xi.

Xi menyarankan kedua-dua negara bersama-sama menyumbang kepada pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan serta keamanan dan kemakmuran serantau.

Dalam perkembangan lain, Rodrigo Duterte melahirkan penghargaan atas kejayaan China dalam usaha membawa lebih 800 juta penduduk keluar dari belenggu kemiskinan dan sumbangan China yang menjadi teladan solidariti dan kerjasama kepada seluruh dunia dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari China dan melahirkan harapan agar kerjasama pragmatik kedua-dua negara dalam bidang infrastruktur dan pertanian membuahkan hasil lebih banyak, selain komited tidak akan bertindak menjejaskan kepentingan China dalam pertembungan geopolitik,  dan bersedia mendorong perkembangan hubungan ASEAN-China yang berterusan.

吕清