China Perkemas Kerjasama 5G

2021-09-01 14:50:26  CRI
Share with:

China Perkemas Kerjasama 5G_fororder_vvvv

Teknologi 5G muncul sebagai penjana baharu untuk memacu pembangunan berkualiti apabila penggunaannya dalam aspek ekonomi negara semakin meluas, menurut Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT).

Menterinya, Xiao Yaqing ketika berucap pada perasmian Konvensyen 5G Sedunia 2021 di Beijing pada Selasa, menyatakan 22 industri utama menggunakan teknologi 5G, antaranya besi dan keluli, kuasa elektrik dan perlombongan.

Sejak teknologi 5G dikomersialkan di China dua tahun lalu, sebanyak 993,000 stesen pemancar siap dibina, manakala pengguna telefon pintar 5G melebihi 392 juta.

Selain itu, penggunaan teknologi tersebut juga semakin diintegrasikan dengan teknologi lain, seperti data maya, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

Xiao berpendapat, pembangunan 5G di China didorong oleh kolaborasi yang terbuka.

“Kami akan terus memperkasa kerjasama antarabangsa dalam pengaplikasian 5G dan keselamatan teknologi berkenaan.

“Syarikat asing dialu-alukan datang ke China untuk menceburi bidang 5G, dan bersama-sama syarikat tempatan menambah baik perkhidmatan dan produk berkaitan 5G,” katanya.

Sementara itu, naib ketua Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Lin Nianxiu berkata, kematangan teknologi 5G membantu melicinkan kesalinghubungan antara pembekal jaringan maklumat di peringkat global, hingga memudahkan lagi kehidupan dan tugasan harian manusia.

Beliau turut berjanji, pihaknya akan terus menyokong kerjasama 5G dilakukan sesama syarikat, selain mencipta suasana kondusif bagi menarik pelaburan asing. 

董筱娉