China Sokong Pengagihan Vaksin Secara Adil di Dunia

2021-09-03 14:50:32  CRI
Share with:

Kumpulan Sinopharm dan Syarikat Sinovac bakal menyediakan 110 juta dos vaksin bagi Kemudahan Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX) menjelang akhir Oktober nanti. 

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin mengulas demikian dalam sidang taklimat semalam. Menurutnya, China akan terus  menyumbang kepada keadilan pengagihan vaksin untuk negara-negara membangun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang buat kali pertama menghantar 100 juta dos vaksin hasilan Kumpulan Sinopharm dan Syarikat Sinovac kepada negara-negara di Afrika dan Asia sebelum bulan September. Kumpulan pertama sebanyak sembilan juta dos dilaporkan telah tiba di Pakistan dan Bangladesh pada awal Ogos lalu. Kira-kira 30 juta dos akan dihantar ke Algeria, Niger, Kirgistan, Venezuela dan sebagainya dalam masa terdekat.

Langkah tersebut bagi memenuhi komitmen China dalam menjadikan vaksin sebagai produk kesihatan awam global serta mendorong pengagihan vaksin secara adil dan menjayakan usaha global memerangi pandemik COVID-19.

Presiden China, Xi Jinping dalam Persidangan Pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin COVID-19 baru-baru ini  komited menyediakan dua bilion dos vaksin kepada masyarakat antarabangsa serta menyumbang USD 100 juta (RM415.1 juta) kepada COVAX bagi pengagihan vaksin kepada negara-negara membangun.

徐国玮