Temasya Olimpik Beijing 2022 Jadi Platform Menyatupadukan Dunia

2021-09-06 13:26:13  CRI
Share with:

Sebagai komponen penting Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2021, Ekspo Sukan Musim Sejuk Antarabangsa 2021 bertempat di Taman Shougang berjaya menarik penyertaan 500 jenama daripada lebih 20 buah negara dan kawasan.

Pada eskpo itu, lebih 260 peserta dari dalam dan luar China telah mengadakan perbincangan secara hibrid mengenai perkembangan industri ais dan ski sejagat.

Difahamkan, antara yang disentuh dalam topik perbincangan adalah termasuk panduan dasar, dorongan sains dan teknologi serta inovasi model.

Selain itu, para peserta turut menzahirkan harapan besar terhadap temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dan perkembangan sukan ais dan salji China.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach berkata, temasya  Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 akan menjadi wadah untuk menyatupadukan dunia.

Dalam kiriman surat tahniah kepada ekspo tersebut, Bach menyatakan bahawa objektif itu mampu dicapai menerusi dorongan semangat damai, bersepadu, dan bersahabat.

Untuk rekod, dengan penganjuran temasya itu, Beijing akan membuka lembaran baharu sejarah sukan dunia dengan menjadi bandar yang pertama sebagai penganjur Sukan Olimpik Musim Panas dan Sejuk.

Sementara itu, Juan Antonio Samaranch Jr. yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing berkata, meskipun sedang berdepan dengan wabak COVID-19, pihak penganjur berjaya mengatasi pelbagai kekangan.

Malah, beliau yang menyampaikan ucapan menerusi video itu berkata bahawa pihak penganjur Beijing telah melaksanakan kerja persiapan dengan baik.

"Penganjuran Sukan Olimpik bukan sahaja telah mendorong pembangunan infrastruktur di bandar Beijing, tetapi turut mengintensifkan pembangunan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat.

"Selain itu, sekitar 300 juta rakyat China juga telah menyertai sukan ais dan salji," ujar Samaranch Jr. lagi.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 Beijing, Han Zirong menyatakan bahawa pihaknya berkeyakinan untuk menjayakan temasya sukan kali ini.

Katanya, pelbagai pihak diharap mengambil kesempatan ekspo ini dengan berkomunikasi dan bekerjasama secara mendalam untuk mempopularkan sukan musim sejuk, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri ais dan salji sejagat.

曹捷