Galakkan Pembangunan Berkualiti BRI

2021-09-08 14:47:41  CRI
Share with:

60 wakil kerajaan dan sarjana dari dalam dan luar China mencadangkan agar pembangunan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dapat disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Ketika berlangsungnya Seminar Antarabangsa Peringatan Ulang Tahun Kelapan BRI di sini, pada Selasa, kesemua wakil dari China, Britain, Greece dan Hungary itu turut mengambil kesempatan untuk menyusuri pencapaian signifikan pembangunan BRI.

Presiden Akademi Sains Sosial China (CASS), Xie Fuzhan berkata, BRI telah memasuki pembangunan berkualiti setelah berjaya memperkukuh asasnya.

Setakat Ogos tahun ini, China telah memeterai lebih 200 dokumen kerjasama yang berkaitan dengan 172 buah negara dan pertubuhan antarabangsa.

Inisiatif terbabit telah menjadi produk awam yang amat popular di arena antarabangsa dan juga wahana kerjasama paling besar skalanya di seluruh dunia.

Naib Presiden CASS, Profesor Wang Linggui berkata, pembangunan BRI bukan sahaja melibatkan kerjasama ekonomi, tetapi juga saluran penting bagi menyempurnakan model pembangunan global dan tadbir urus global.

Menurut beliau, ia juga telah mendorong globalisasi ekonomi secara sihat, sekali gus mencerminkan harapan kebanyakan negara membangun untuk menggalakkan kedamaian dan pembangunan.

Tinjauan syarikat James O’McKinsey Amerika Syarikat menunjukkan, 89% pekerja dari ribuan syarikat China di lapan buah negara Afrika merupakan rakyat tempatan, secara tidak langsung memberi indikator bahawa sebanyak 300,000 peluang kerja telah disediakan kepada Afrika.

Meigikuti laporan Bank Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini, BRI berkemungkinan membebaskan 7.6 juta populasi daripada belenggu kemiskinan ekstrim dan 32 juta orang daripada kemiskinan sederhana.

Mutakhir ini, BRI turut menghadapi cabaran yang besar ketika berdepan dengan pergolakan situasi antarabangsa dan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan penyusutan perdagangan dan pelaburan global.

Bagaimanapun, Profesor George N. Tzogopoulos dari Universiti Democritus Greece menekankan peri pentingnya kerjasama antarabangsa untuk membendung wabak, merealisasikan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), memelihara keamanan serantau dan menangani pemanasan iklim.

Manakala, Penyelidik Institut Strategi Asia Pasifik dan Global CASS, Zhang Zhongyuan berkata, ekonomi digital akan menjadi enjin baharu dalam pembangunan BRI semasa dan pasca pandemik, selain akan menjadi kunci dalam memastikan pembangunan berkualiti BRI.

高蕾