Import Eksport China Meningkat 23.7%

2021-09-08 14:43:54  CRI
Share with:

Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) mengumumkan nilai import dan eksport China dari Januari hingga Ogos tahun ini direkodkan dengan jumlah RMB24.78 trilion (RM16 trilion).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, jabatan itu memaklumkan bahawa data tersebut sekali gus menyaksikan peningkatan 23.7% berbanding 2020 dan 22.8% jika dibandingkan dengan tahun 2019.

Antaranya, nilai pengeksportan mencapai RMB13.56 trilion (RM8.7 trilion) menaik 23.2%, sementara pengimportan pula meningkat 24.4% dengan RMB11.2 trilion (RM7.2 trilion) berbanding 2020.

Jurucakap penerangan GACC, Li Kuiwen menyatakan, pencapaian berkenaan merupakan susulan daripada keberkesanan langkah pencegahan dan kawalan wabak COVID-19 yang dilaksanakan China.

Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung berjaya menjamin kestabilan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor ekonomi.

Menurut Li, syarikat swasta di China telah menunjukkan prestasi pesat dalam peningkatan import dan eksport dalam tempoh lapan bulan tersebut.

Untuk rekod, dari Januari hingga Ogos lalu, import dan eksport antara China dengan rakan perdagangan utama termasuk ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) turut sama menyaksikan peningkatan.

ASEAN dan EU yang masing-masing merupakan rakan perdagangan terbesar pertama dan kedua, telah memperlihatkan peningkatan perdagangan melebihi 22%.

Manakala, perdagangan import dan eksport antara China dengan AS pula meningkat 25.8%.

Bagi import dan eksport China dengan negara-negara terlibat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pula, statistik menunjukkan ia telah meningkat sebanyak 24.6% dengan catatan RMB7.29 trilion (RM4.7 trilion).

Ketika menyentuh tentang trend perdagangan luar China pada suku ke-4 tahun ini, Li menyifatkan penularan pandemik di seluruh dunia telah membawa kesan yang tidak menentu dan stabil terhadap pemulihan ekonomi global.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa China akan terus mengintensifkan keterbukaan, mendorong pembinaan bersama BRI, selain terus menyumbang terhadap kelancaran dan kestabilan rantai pembekalan dan industri global serta pembaikpulihan ekonomi sedunia.

张宪