Lebih Dua Ribu Perusahaan Bakal Sertai BIBF ke-28

2021-09-09 13:13:09  CRI
Share with:

Ekspo Buku Antarabangsa Beijing(BIBF) ke-28 yang dijadualkan berlangsung selama lima hari secara hibrid mulai 14 September ini akan disertai oleh 2,191 perusahaan dari 105 buah negara dan kawasan seluruh dunia.

Menurut Naib Pengurus Besar Perbadanan Import dan Eksport Terbitan Kebangsaan China (CNPIEC), Lin Liying, jumlah negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan yang berdaftar untuk menyertai ekspo ini telah meningkat kepada 57 buah negara.

Jelas beliau, antara negara yang baru membuat kemunculan sulungnya adalah seperti Algeria, Nigeria, Jamaica dan Laos.

Kata Lin, pada kali ini, perusahaan dalam dan luar negara China masing-masing adalah sebanyak 756 dan 1,435 buah.

Difahamkan, BIBF edisi baharu ini turut akan memberi tumpuan kepada topik-topik seperti "Going Global", "Integrated Development", "Children Book Market and Publishing Innovation", "Future Development of Libraries", dan "5G Empowered Publishing".

Manakala, seminar untuk mengantarabangsakan industri penerbitan juga akan diadakan buat kali pertama sempena ekspo ini.

Untuk rekod, Pakistan akan menjadi tetamu kehormat bagi ekspo tahun ini dan ruang pamerannya pula akan memaparkan buku-buku terpilih, foto-foto bertema serta pelbagai karya lukisan.

Timbalan Ketua Kedutaan Pakistan ke China, Ahmad Farooq memberitahu bahawa pihaknya komited memperkenalkan budaya Pakistan kepada lebih ramai pembaca China melalui wadah ini.

覃淼