Xi Senantiasa Cakna Isu Pendidikan

2021-09-09 16:03:58  CRI
Share with:

Dengan pelaksanaan polisi mengurangkan beban kerja rumah berlebih-lebihan dan program pelajaran luar kampus dalam kalangan pelajar peringkat pendidikan wajib atau lebih dikenali shuangjian, suasana berbeza untuk sesi persekolahan tahun 2021 yang dimulakan 1 September turut dirasai setiap murid dan ibu bapa di China.

Pembaharuan pendidikan antara isu yang mencuri perhatian setiap keluarga, sentiasa di hati Presiden Xi Jinping.

Baik dari segi kesamarataan pendidikan, atau pun isu peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak, segenap aspek pendidikan menjadi keutamaan kerajaan.

Xi pernah menekankan peri pentingnya memantapkan lagi pembaharuan pendidikan demi memastikan kesamarataan akses kepada pendidikan lebih berkualiti terjamin.

Seperti yang dinyatakan beliau, baik di sekolah atau pun di rumah, markah di atas kertas tidak boleh terlalu dipentingkan. Perkara yang perlu didahulukan adalah membantu seseorang pelajar membentuk personaliti yang sihat dan matang.

Semasa berlangsungnya sesi perbincangan bersama anggota Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dari sektor perubatan, kesihatan dan pendidikan di Beijing pada Mac, Xi mengakui wujudnya kelemahan dalam sistem pendidikan sedia ada.

Dua bulan selepas itu, polisi shuangjian dimuktamadkan kerajaan, dan pada Julai dimulakannya pembaharuan intensif terhadap program pendidikan wajib di seluruh negara.

Xi pernah kerap kali menjejak kaki ke kampus dan menegaskan perlunya melahirkan insan holistik dan seimbang iaitu berilmu, berakhlak dan berkemahiran.

Beliau juga cakna kesihatan fizikal para pelajar dan mengarahkan supaya pendidikan jasmani diwajibkan di semua sekolah agar kemajuan yang dikecapi kelak seimbang antara rohani dan fizikal.

董筱娉