China Perkukuh Pemantauan Pasaran, Beri Faedah Ekonomi Dunia

2021-09-09 14:02:10  CRI
Share with:

Kerajaan China akan memperhebat pemantauan anti-monopoli, menyiasat dan bertindak terhadap persaingan tidak adil, serta memelihara orde persaingan adil di dalam pasaran.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbing berkata, langkah tersebut berfaedah untuk merealisasikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi domestik secara adil, teratur dan lestari, sekali gus bermanfaat bagi pembangunan ekonomi sejagat pada jangka masa panjang.

Beliau menjelaskan demikian dalam satu sidang media pada semalam susulan laporan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa langkah terbabit akan menambah risiko pasaran.

Menurut Wang, tindakan tersebut merupakan kelaziman masyarakat antarabangsa dan menyatakan bahawa para pelabur, peniaga serta pengguna akan mendapat manfaat daripadanya.

Beliau menegaskan, China tidak berganjak daripada dasar buka pintu terhadap dunia luar di samping giat menyediakan jaminan baik untuk pelabur asing, sambil menjunjung tinggi pembukaan dan kerjasama, saling untung serta berkongsi peluang agar menggalakkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global.

Terdahulu, Presiden Xi Jinping telah mengumumkan senarai negatif perdagangan perkhidmatan transnasional di seluruh negara, dan menyokong percubaan Beijing melaksanakan "penyelarasan" peraturan perjanjian perdagangan bebas bertaraf tinggi di arena antarabangsa.

Pada masa sama, Dewan Negara China turut menggariskan beberapa langkah bagi mengintensifkan kemudahan dalam perdagangan, pelaburan, logistik antarabangsa dan perkhidmatan kewangan.

Dalam perkembangan lain, Pelan Induk Pembangunan Kawasan Kerjasama Mendalam antara Guangdong dengan Makau di Hengqin dan Pelan Memperdalam Pembaharuan dan Keterbukaan Perkhidmatan Moden antara Shenzhen dengan Hong Kong di Qianhai turut diumumkan, yang menyasarkan keterbukaan bertaraf tinggi dan memperhebat persekitaran perniagaan.

高蕾