Komunikasi Strategik Xi, Biden Jujur dan Meluas

2021-09-10 12:11:33  CRI
Share with:

Hubungan China-AS yang terbantut gara-gara dasar Washington terhadap Beijing, tidak selaras dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara, dan kepentingan bersama negara lain di dunia.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari AS, Joe Biden pagi tadi.

Komunikasi strategik antara dua pemimpin itu dilangsungkan secara jujur, mendalam dan meluas.

Xi berkata, sebagai negara membangun dan negara maju terbesar, hubungan China dan AS berkaitan dengan masa depan dunia. Dalam pada itu, kerjasama menjanjikan manfaat, manakala konfrontasi membawa kerugian.

Beliau telah membentangkan pendirian China dalam isu-isu termasuk usaha menangani perubahan iklim, di samping menegaskan komitmen China untuk menempuh jalan pembangunan hijau dan rendah karbon yang mengutamakan ekologi.

Beliau menyarankan kedua-dua pihak meneruskan dialog bagi meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam isu perubahan iklim, pencegahan wabak COVID-19, pemulihan ekonomi serta isu-isu penting antarabangsa dan serantau.

Kedua-dua pihak juga diharap meneroka potensi kerjasama bagi menyuntik lebih banyak elemen positif kepada hubungan dua hala.

Biden pula berkata, tiada alasan bagi kedua-dua negara terperangkap dalam konfrontasi akibat persaingan. AS bersedia merancakkan interaksi ikhlas dan dialog konstruktif dengan China, menetapkan bidang kerjasama utama, mengelakkan sebarang salah anggap dan mendorong hubungan bilateral kembali ke landasan yang betul.

Beliau turut menzahirkan hasrat untuk memperkasakan kerjasama dengan China dalam pelbagai isu penting termasuk usaha menangani perubahan iklim.  

董筱娉